Keluarga puas hati pemandu Vios berdepan kes bunuh suami isteri

15 May 2026 • 12:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Keluarga puas hati pemandu Vios berdepan kes bunuh suami isteri
Suresh Kumar (kiri) dan Nakulen hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat.

KUALA LUMPUR – Ahli keluarga kepada pasangan suami isteri yang maut dirempuh di Jalan Ampang dua minggu lalu, berpuas hati apabila pemandu kereta berkenaan didakwa atas dua pertuduhan membunuh di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.

Anak saudara mangsa, K Suresh Kumar, 47, berkata, pendakwaan itu sedikit sebanyak memberi keadilan kepada bapa saudaranya, A Doraisingam, 61, dan isterinya, A Menagah, 56.

Menurutnya, tiada perkara lain yang diharapkan kecuali keadilan dapat ditegakkan buat kedua-dua mendiang.

“Sebelum ini, keluarga tertuduh ada memaklumkan hasrat untuk berjumpa, namun kami sekeluarga masih belum bersedia.

“Ini kerana kami masih terkesan dengan kehilangan pasangan berkenaan yang disifatkan amat rapat dan menjadi tonggak keluarga,” katanya yang hadir bersama anak saudara kepada Menagah iaitu, A Nakulen, 49.

Menurutnya, rutin harian pakciknya ialah menghantar isterinya setiap pagi ke tempat kerja di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, namun kemalangan itu telah meragut nyawa mereka.

Dia berkata, tiga anak mendiang berusia antara 19 hingga 26 tahun cekal dalam menghadapi ujian ini.

Pada Jumaat, seorang penuntut kolej yang memandu kereta jenis Toyota Vios, didakwa atas dua pertuduhan membunuh pasangan suami isteri berkenaan.

Danish Raman Kamar Kumaresan, 24, yang memakai baju berwarna putih berbelang hitam, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Majistret, Nurul Izzah Hasan Basri.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut dua pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Doraisingam dan Menagah di Jalan Ampang dari arah KLCC menghala ke Ampang Point pada jam 5.30 pagi, 2 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau dipenjarakan antara 30 hingga 40 tahun.

Jika tidak dihukum gantung, tertuduh boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.