Suami isteri warga Indonesia diberkas bantu siasatan pecah rumah

10 May 2026 • 3:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Suami isteri warga Indonesia diberkas bantu siasatan pecah rumah
Pasangan suami isteri warga Indonesia diberkas bagi siasatan lanjut berkaitan kejadian pecah masuk sebuah rumah yang mengakibatkan kerugian RM800,000. Gambar hiasan

AMPANG JAYA – Pasangan suami isteri warga Indonesia diberkas bagi siasatan lanjut berkaitan kejadian pecah masuk sebuah rumah yang mengakibatkan kerugian RM800,000 di Taman Melawati di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kedua-dua suspek ditahan pada Jumaat.

Menurutnya, tangkapan dijalankan bagi membantu siasatan berhubung kes pecah rumah berkenaan.

"Suami isteri berketurunan Indonesia itu telah ditangkap pada 9 Mei bagi membantu siasatan.

"Kes masih dalam siasatan polis sehingga kini," katanya ringkas pada Ahad.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki mengalami kerugian lebih RM800,000 selepas rumah miliknya di Taman Melawati dipercayai dipecah masuk penjenayah.

Khairul Anuar dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu selepas pengadu tiba di rumah kira-kira jam 11.30 malam.

Mangsa mendapati, ruang tamu dan beberapa bilik di dalam rumah berada dalam keadaan berselerak sebelum pemeriksaan lanjut menemukan kesan umpilan pada pintu belakang rumah.

Suspek dipercayai masuk ke dalam rumah dengan cara mengumpil grill dan pintu belakang sebelum menggeledah beberapa bahagian rumah.

Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian turut menemukan tiga kesan cap jari bagi tujuan siasatan lanjut.

Semakan lanjut mendapati beberapa barang kemas serta jam tangan dipercayai hilang dalam kejadian itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.