Keluarga rakyat Malaysia persoal misi SMART selepas sembilan hari tragedi Nepal 

3 Sep 2026 • 10:03 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Keluarga rakyat Malaysia persoal misi SMART selepas sembilan hari tragedi Nepal 

PETALING JAYA: Keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih hilang dalam tragedi banjir di Nepal mempersoalkan objektif misi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke lokasi bencana selepas sembilan hari kejadian.

Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH), Dr. R. Manivannan berkata, tempoh paling kritikal untuk pasukan SMART berada secara fizikal di kawasan itu telah berlalu.

Menurutnya, jika matlamat utama penugasan SMART adalah untuk mencari mangsa yang terselamat, kebarangkalian untuk menemukan mangsa hidup selepas sembilan hari adalah amat rendah.

“Jika objektif kini lebih tertumpu kepada mencari dan membawa keluar mangsa yang hilang, kerajaan perlu mengakui realiti keadaan di lapangan.

“Sekiranya sebahagian atau kesemua 55 rakyat Malaysia yang masih hilang telah meninggal dunia pada hari pertama, selepas sembilan hari proses pereputan mungkin telah berlaku.

“Keadaan itu boleh menjadikan usaha mencari dan membawa keluar serta mengenal pasti mangsa semakin sukar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Manivannan meminta kerajaan menjelaskan secara terperinci objektif operasi SMART pada ketika ini serta hasil realistik yang dijangka dapat dicapai melalui penugasan tersebut.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mempersoalkan peranan pasukan sokongan tambahan daripada Kementerian Luar yang dilaporkan dijadualkan berlepas ke Kathmandu hari ini bagi membantu urusan penyelarasan operasi di lapangan.

Menurutnya, komposisi serta skop tugas pasukan berkenaan perlu diperjelaskan kepada keluarga mangsa.

“Antara persoalan yang dibangkitkan termasuk jumlah anggota yang dihantar, siapa yang mengetuai pasukan tersebut, agensi atau bahagian yang diwakili, skop tugas serta tanggungjawab mereka di Kathmandu dan bentuk bantuan konsular yang akan diberikan kepada waris mangsa.

“Bagaimana ia akan menyumbang secara langsung kepada usaha mencari, membawa keluar dan mengenal pasti rakyat Malaysia yang hilang serta membantu keluarga mereka,” jelasnya.

Beliau menegaskan, perkara yang lebih penting ketika ini bukan sekadar menunjukkan bahawa anggota kerajaan berada di lokasi atau mewujudkan persepsi bahawa tindakan sedang diambil.

“Yang penting kepada kami ialah apakah tindakan konkrit yang masih boleh dilakukan untuk mencari, membawa keluar dan mengenal pasti orang tersayang serta memberikan jawapan kepada keluarga.

“Keluarga perlu dimaklumkan dengan lebih terperinci dan spesifik mengenai perkembangan operasi, bukannya sekadar menerima kenyataan umum atau kenyataan untuk media,” ujarnya. –UTUSAN

The post Keluarga rakyat Malaysia persoal misi SMART selepas sembilan hari tragedi Nepal  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved