
PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia menyalurkan bantuan psikososial kepada keluarga rakyat Malaysia yang terkesan susulan bencana alam di Nepal, sekiranya diperlukan.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya kini menunggu maklumat lanjut daripada Kementerian Luar Negeri (KLN) berhubung bentuk bantuan yang diperlukan sebelum tindakan susulan dapat dilaksanakan.
“Sekarang ini kita berhubung melalui KLN. Kita dimaklumkan apabila mereka memerlukan bantuan, mereka akan maklumkan kepada kita.
“Jadi, kita bersedia membantu dari segi psikososial dan perkara-perkara lain yang diperlukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan 80 tahun Jabatan Kebajikan Masyarakat di sini, hari ini.
Beliau berkata, bantuan yang disediakan KPWKM kepada keluarga atau individu yang terkesan termasuk sokongan kaunseling serta perkara-perkara yang boleh membantu mereka meneruskan kehidupan.
Menurutnya, kementerian mempunyai prosedur operasi standard (SOP) untuk menyediakan khidmat kaunselor di pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya berlaku bencana.
“Kalau ada PPS, kita ada kaunselor di sini. Ada yang bersama kanak-kanak dan itu memang SOP kita. Melainkan mereka memerlukan bantuan psikososial yang lebih intensif, kita akan tambahkan lagi bantuan,” katanya.
Terdahulu, seramai 77 rakyat Malaysia yang dikesan berada di Tibet dan Nepal telah dibawa ke Kathmandu bagi menjalani proses repatriasi sebelum dibawa pulang ke Malaysia.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, bagaimanapun setakat ini terdapat 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan susulan bencana yang berlaku di negara berkenaan. – UTUSAN
The post KPWKM sedia bantuan psikososial keluarga rakyat Malaysia terjejas bencana Nepal appeared first on Utusan Malaysia.






