Keluarga rakyat Malaysia terjejas bencana Nepal diberi taklimat esok

29 Aug 2026 • 8:11 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Keluarga rakyat Malaysia terjejas bencana Nepal diberi taklimat esok

SEREMBAN – Keluarga rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan susulan insiden banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan sempadan Nepal-Tibet pada Rabu lalu akan diberikan taklimat oleh Wisma Putra, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan agensi berkaitan, di Kuala Lumpur esok.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pertemuan itu akan membincangkan perkembangan terkini usaha mengesan rakyat Malaysia yang masih dikategorikan belum dapat dikesan.

“Sekiranya keluarga berkenaan mahu ke Nepal, pihaknya akan cuba menguruskan perjalanan mereka, namun akses ke lokasi kejadian atau ground zero adalah sukar berikutan masalah perhubungan dan jambatan yang terputus,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Ziarah Kasih di Taman Kelab Tuanku, Mambau di sini, hari ini.

Mohamad berkata, Kuasa Usaha Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu turut melaporkan perkembangan kepada beliau setiap hari, manakala Kedutaan Malaysia sudah menerima tambahan staf bagi membantu menguruskan urusan rakyat Malaysia yang terjejas.

“Banyak juga sekarang ini mana yang dulu sudah dikategorikan hilang, tetapi dapat dihubungi. Pihak negara China kata ada beberapa orang di sebelah sana yang sudah dapat dihubungi, dan belum tentu lagi kita pastikan kewarganegaraan mana,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata Nepal tidak memerlukan penghantaran pasukan mencari dan menyelamat (Search and Rescue – SAR) dari negara lain berdasarkan pengalaman menguruskan pasukan SAR ketika gempa bumi di Kathmandu beberapa tahun lalu.

“Sebaliknya, Nepal meminta negara-negara yang mahu membantu supaya menyalurkan sumbangan kewangan bagi menyokong usaha bantuan. Bank Dunia pun sudah mengeluarkan kenyataan untuk membantu Nepal,” katanya.

Mohamad berkata, wakil pejabatnya dan pegawai bilik operasi turut akan hadir dalam pertemuan media bersama NGO di Kuala Lumpur esok bagi menjawab sebarang pertanyaan serta memberikan penerangan lanjut mengenai perkembangan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan. – KOSMO! ONLINE

The post Keluarga rakyat Malaysia terjejas bencana Nepal diberi taklimat esok appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved