
KAJANG – Keluarga seorang remaja perempuan meminta bantuan orang ramai bagi mengesan anaknya yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah di Taman Jasmin, di sini, semalam.
Menurut ibu remaja berkenaan, Rabiatul Adawiyah, 34, anaknya Farzanah Nabila, 17, dipercayai keluar dari rumah pada pagi semalam dan sehingga kini masih belum pulang.
Katanya, dia pada awalnya menyedari kehilangan remaja terbabit apabila gagal menghubunginya.
“Semua dalam keadaan baik dan tiada sebarang perselisihan faham sebelum dia keluar dari rumah.
“Saya sudah menghubungi kawan-kawan dan kenalan anak saya, namun tiada seorang pun yang mengetahui keberadaannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Rabiatul berkata, dia mengesan lokasi terakhir anaknya di Bangunan Kurnia Chowkit, Kuala Lumpur sekitar pukul 4 pagi.
“Saya ada pasang ‘live location’ (perkongsian lokasi secara langsung) di telefon anak saya sebelum ia dimatikan.
“Kami sangat risau dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaannya dapat membantu,” ujarnya.
Rabiatul berkata, pihak keluarga turut mendapatkan bantuan pihak berkuasa dan sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang semalam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan remaja berkenaan diminta menghubungi keluarga atau pihak polis bagi membantu siasatan dan usaha mengesannya. – KOSMO! ONLINE
The post Keluarga rayu bantuan cari Farzanah appeared first on Kosmo Digital.





