Mesej WhatsApp hanya satu tanda, ibu bimbang anak hilang

LocalFamily & Parenting
14 Aug 2026 • 7:08 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Mesej WhatsApp hanya satu tanda, ibu bimbang anak hilang

PETALING JAYA: Mesej WhatsApp yang dihantar kepada anak perempuannya yang berusia 17 tahun hanya menunjukkan satu tanda, selain data internet pada telefon dipercayai dimatikan, menyebabkan seorang ibu semakin bimbang selepas anaknya dilaporkan hilang.

Rabiatul Adawiyah Rosli, 34, berkata, usaha menghubungi anak sulungnya, Farzanah Nabila Abdullah, tidak berhasil selepas dipercayai keluar dari rumah mereka di Taman Jasmin, Kajang, semalam.

Menurutnya, kehilangan itu disedari kira-kira pukul 3 pagi selepas adik perempuan Farzanah berusia lapan tahun yang tidur bersamanya menangis kerana mencari kakaknya.

“Tiada masalah pun sebelum ini. Dia tidak pernah macam ini.

“Sebelum ini, dia ada keluar rumah tetapi apabila balik lewat, saya akan cakap hendak buat laporan polis. Dia akan angkat panggilan dan pulang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Rabiatul Adawiyah berkata, dia kemudian cuba mencari Farzanah menerusi semua media sosial selain menghubungi rakan-rakannya, namun tiada seorang pun mengetahui keberadaan remaja berkenaan.

Katanya, lokasi terakhir Farzanah sebelum ini dikesan di Kuala Lumpur dan dia bersama keluarga turut pergi ke kawasan berkenaan untuk mencarinya, tetapi tidak berjaya.

“Sebelum kejadian, dia pergi sekolah seperti biasa. Saya ada periksa telefon bimbitnya tetapi tiada apa-apa yang mencurigakan. Dia juga tidak mempunyai kenalan lelaki yang rapat,” katanya.

Beliau berharap anaknya dapat ditemukan segera dan pulang ke rumah dalam keadaan selamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan remaja itu pada pukul 1.20 tengah hari semalam.

Katanya, Farzanah dipercayai hilang pada pukul 12.20 tengah hari dengan lokasi terakhir dilaporkan di 940, Jalan Jasmin 28, Taman Jasmin.

Farzanah mempunyai ketinggian kira-kira 155 sentimeter, bertubuh kurus dengan berat 42 kilogram serta berambut lurus dan panjang.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaannya diminta menghubungi IPD Kajang di talian 03-8911 4222 atau pegawai penyiasat, Sarjan Amiruddin Abdul Hamid di talian 013-230 4156. – UTUSAN

The post Mesej WhatsApp hanya satu tanda, ibu bimbang anak hilang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved