Bukan lagi rahsia Samsung akan melancarkan sebuah peranti skrin lipat lebar tahun ini dengan ia dipercayai menggunakan nama Samsung Galaxy Z Fold8 Wide. Nama yang agak panjang dan diakui kurang menarik untuk pasaran. Kini muncul laporan dua nama baharu yang akan digunakan peranti ini ialah Samsung Galaxy Z Fold8. Sementara itu sebuah lagi model dengan nisbah skrin biasa pula menggunakan nama Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra.

Penamaan baharu ini akan mengurangkan kekeliruan serta membezakan kedua-dua model dengan lebih ketara. Difahamkan Z Fold8 akan hanya dilengkapi dwi-kamera di belakang sementara Z Fold8 Ultra akan mengekalkan penggunaan tri-kamera seperti Z Fold7 tahun lalu. Ia juga adalah langkah awal Samsung kerana iPhone lipat pertama dipercayai juga akan menggunakan nama Ultra.

Sementara itu panel skrin pelindung untuk Z Fold8 telah ditiriskan oleh Ice Universe menunjukkan skrin luar peranti yang sangat lebar berbanding telefon lain di pasaran. Ia amat mirip nisbah skrin Huawei Pura X Max yang baru sahaja dilancarkan di China.
Siri Samsung Galaxy Z Fold8 akan dilancarkan sekitar September depan bersama dengan jam tangan Galaxy Watch serta cermin mata pintar yang dilengkapi sistem operasi Android XR. Rekaan dua cermin mata pertama ini sudahpun didedahkan ketika acara Google I/O minggu lalu.



