Kemalangan Maut Di Pelantar Minyak: ‘Hanya Allah Yang Tahu Perasaan Saya Ketika Ini’ - Isteri Mangsa

25 May 2026 • 10:47 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Kemalangan Maut Di Pelantar Minyak: ‘Hanya Allah Yang Tahu Perasaan Saya Ketika Ini’ - Isteri Mangsa

KUALA LUMPUR — Isteri kepada Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustaman, seorang daripada pekerja pelantar minyak yang maut dalam insiden tengah hari semalam, tidak dapat menahan kesedihan selepas menerima berita pemergian suaminya.

Nurkhaeryna Dhania Azreen Khairil Azri, 28, berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa suaminya sekitar jam 4 petang selepas menerima panggilan daripada pihak majikan.

Menurutnya, pihak syarikat ketika itu hanya memaklumkan bahawa suaminya terlibat dalam insiden berkenaan tanpa memberikan penjelasan lanjut mengenai keadaan sebenar mangsa.

“Pihak syarikat tidak dapat memberikan maklumat terperinci ketika itu. Mereka hanya memaklumkan suami saya terlibat dalam insiden tersebut, namun tidak menyatakan sama ada dia telah meninggal dunia sebab maklumat penuh masih belum diperoleh,” katanya seperti dilaporkan Bernama, ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Beliau berkata, sejurus menerima panggilan tersebut, dia bersama ibunya segera bertolak dari kediaman mereka di Bukit Setongkol, Kuantan, Pahang sebelum tiba di hospital kira-kira jam 7 malam.

Menurut Nurkhaeryna, kali terakhir beliau bertemu suaminya adalah pada Ahad lalu sebelum arwah kembali bertugas di pelantar luar pesisir bagi tempoh dua minggu.

Allahyarham yang berpengalaman bekerja dalam industri luar pesisir sejak 2019 difahamkan baru menyertai syarikat berkenaan pada Mac lalu dan dijadualkan pulang pada 1 Jun depan.

“Saya amat sedih kerana arwah merancang untuk menemani saya sepanjang tempoh berpantang selepas kelahiran anak kedua kami nanti.

“Hanya Allah SWT yang mengetahui betapa hancurnya perasaan saya ketika ini,” katanya sebak. - Getaran, 25 Mei 2026