
Beberapa kemalangan maut direkodkan di lebuh raya itu baru-baru ini
Kemalangan Maut Makin Kerap, JKR Digesa Tambah Baik Papan Tanda Sepanjang Lebuhraya Pan Borneo. Dilaporkan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah digesa untuk menambah baik papan tanda di sepanjang projek Lebuhraya Pan Borneo berikutan beberapa kemalangan maut yang telah berlaku baru-baru ini.
Perkara ini digesa oleh ADUN Tamin Christopher Gira Sambang selepas menerima berita kemalangan jalan raya di Lebuhraya Pan Borneo sepanjang bahagian Sibu-Selangau yang meragut lapan nyawa.

Perlu ada petunjuk jelas bahagian jalan mana yang boleh digunakan
Menurut laporan, Gira menggesa JKR untuk memasang lebih banyak papan tanda jalan yang jelas di sepanjang semua bahagian projek Lebuhraya Pan Borneo bagi menunjuk bahagian jalan mana yang boleh digunakan.
Katanya, penambahbaikan ini bukan sahaja untuk bahagian Sibu-Selangau tetapi kesemuanya di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo bagi mengurangkan kes kemalangan jalan raya.

Gira juga menjelaskan walaupun beberapa bahagian Lebuhraya Pan Borneo mempunyai empat lorong terbuka, di bahagian lain hanya dua lorong yang tersedia sahaja.
Katanya, lebuhraya tersebut tidak dibuka sepenuhnya dan tidak semua lorong boleh digunakan, yang boleh menyebabkan kekeliruan dan bahaya kepada pemandu.

Berhati-hati dan mengelak daripada memandu laju
Beliau turut menasihatkan orang ramai terutamanya pemandu yang pulang ke tempat kerja masing-masing selepas menyambut perayaan Gawai Dayak agar berhati-hati dan mengelak daripada memandu laju.
Sementara itu, beliau turut menegur tindakan pemandu kenderaan menggunakan jalan pintas haram dan bukannya selekoh P yang ditetapkan di sepanjang lebuhraya kerana ia boleh menyebabkan kemalangan.

Beliau mengingatkan semua pengguna jalan raya untuk menggunakan pusingan P bagi membuat U-turn dan tidak menggunakan jalan pintas serta elakkan memandu laju.
Terdahulu, lima orang termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Batu 40, Jalan Sibu-Bintulu pada Isnin lalu. Seorang wanita berusia 74 tahun pula maut di tempat kejadian apabila kereta yang dinaikinya bersama dua yang lain dilanggar oleh sebuah lori tangki di Batu 31, Jalan Sibu-Bintulu semalam. Seorang lagi penumpang dalam kereta tersebut turut meninggal dunia di klinik kesihatan Sekuau akibat cedera parah yang dialaminya.
