
TEMERLOH - Pemandu lori tangki yang terbabit dalam kemalangan maut sehingga meragut nyawa seorang wanita dan anak lelakinya di Kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang berhampiran Kampung Lebak, semalam, direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron, berkata lelaki berusia 37 tahun itu direman bermula hari ini hingga Selasa depan.
Beliau berkata, pemandu lori tangki berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian.
“Ujian saringan air kencing terhadap lelaki berkenaan disahkan negatif daripada sebarang dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam, seorang wanita dan anak lelakinya maut selepas kereta dinaiki mereka dirempuh lori tangki yang membawa muatan 32,000 liter diesel.
Rempuhan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabit terbakar dan mangsa yang berada di dalam kereta berkenaan tidak dapat diselamatkan.
Pemandu lori tangki pula hanya mengalami kecederaan ringan.
Ketika kejadian, kereta terbabit dalam perjalanan dari Jerantut menuju ke Seremban, Negeri Sembilan.
Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku selepas lori tangki yang dalam perjalanan dari Seremban menuju Temerloh itu hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik, lalu merempuh kereta mangsa.
Mohd Nasyim berkata, bedah siasat terhadap kedua-dua mangsa dijalankan di Hospital Sultan Ahmad Shah hari ini.
Bagaimanapun, proses pengebumian kedua-dua mangsa tambahnya, mungkin terpaksa ditangguhkan sehingga keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diperoleh bagi mengesahkan identiti mereka.
Beliau berkata, setakat ini, waris mangsa masih belum tampil untuk membuat pengesahan identiti kedua-dua mangsa.
Mangsa dikenal pasti sebagai Nur Fatima Abdullah, 39, dan anak lelakinya, Muhamad Fattah Aisy Nuafal Saifulnizam, 12, yang berasal dari Jerantut. - Getaran, 15 Ogos 2026






