
TEMERLOH: Video luahan seorang lelaki yang dipercayai suami kepada wanita dan bapa kepada kanak-kanak yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori tangki di Jalan Temerloh-Triang, dekat Kampung Lebak, di sini, tular di media sosial.
Dalam video berkenaan, lelaki terbabit memaklumkan bahawa isteri dan anaknya telah meninggal dunia susulan nahas yang berlaku petang semalam.
Perkongsian itu turut mengundang sebak dalam kalangan pengguna media sosial yang bersimpati dengan kehilangan dua beranak berkenaan.
Isteri Dan Anak Maut Dalam Nahas
Dua mangsa yang disahkan maut ialah Nur Fatima Abdullah, 39, dan anak lelakinya, Muhamad Fattah Aisy Nuafal Saifulnizam, 12.
Kedua-duanya dipercayai menaiki sebuah kereta ketika lori tangki terbabit hilang kawalan sebelum terbabas dan menghempap kenderaan berkenaan.
Kedua-dua kenderaan kemudian terbakar, menyebabkan mangsa terperangkap dan maut dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, 14 Ogos.
Lori tangki berkenaan dilaporkan membawa kira-kira 32,000 liter bahan api ketika kejadian.
Mohon Doa Buat Keluarga
Dalam video yang tular itu, lelaki berkenaan turut memohon maaf kerana tidak dapat menguruskan beberapa perkara seperti biasa buat sementara waktu susulan tragedi yang menimpa keluarganya.
Beliau kemudian memohon orang ramai mendoakan dirinya serta keluarga, khususnya buat isteri dan anaknya yang telah pergi buat selama-lamanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasym Bahron, memaklumkan kemalangan berlaku ketika kereta dinaiki dua beranak terbabit dalam perjalanan dari Jerantut ke Seremban, Negeri Sembilan.
Pemandu lori tangki berusia 37 tahun pula dilaporkan terselamat dengan kecederaan ringan dan ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Al-Fatihah buat kedua-dua mangsa. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. – The Malaysian Update
The post “Isteri Dan Anak Saya Meninggal Dunia” – Video Luahan Suami Dua Mangsa Nahas Temerloh Tular appeared first on The Malaysian Update.






