SK Hynix merupakan salah satu daripada tiga syarikat pembekal komponen memori DRAM yang membekalkan komponen tersebut untuk pelbagai jenis industri dari perkomputeran pengguna, ke pusat data, automotif dan kini AI.
Pengaruh SK Hynix keatas pengeluaran RAM adalah sangat besar, menurut beberapa laporan bahawa ia kini memegang 57 peratus daripada pasaran memori HBM atau High Bandwidth Memory yang kini dikejar oleh syarikat-syarikat pembuat komponen dan pembangun teknologi AI di seluruh dunia.
Di acara NVIDIA GTC yang sedang berlangsung di Amerika Syarikat, Pengerusi SK Group, Chey Tae-won mengatakan bahawa beliau menjangkakan bahawa kemarau bekalan memori akan berkekalan sehingga sekurang-kurangnya 2030, berdasarkan permintaan untuk memori HBM sedia ada.

Mengeruhkan keadaan lagi ialah menurut laporan Bloomberg, pengeluaran komponen memori secara keseluruhannya, khususnya memori DRAM adalah 20 peratus ketinggalan berbanding dengan permintaan industri, dan ini adalah cukup serius apabila syarikat-syarikat pembuat komponen dan kelengkapan elektronik sudahpun mula menghabiskan bekalan simpanan komponen DRAM mereka sendiri.
Syarikat-syarikat seperti SK Hynix dan Samsung sudahpun memulakan usaha untuk menambah kapasiti pengeluaran dengan pembangunan kilang-kilang baru di Korea Selatan, tetapi kilang-kilang tambahan ini hanya akan mula beroperasi pada tahun 2027 ke 2028, dan kapasiti pengeluaran dijangka hanya mencapai tahap optimum dua ke tiga tahun selepas operasi.
Samsung juga baru-baru ini telah mula menawarkan kontrak 3-5 tahun untuk klien-klien tertentu supaya mereka boleh mengunci harga komponen memori (HBM dan DRAM) kerana menjangkakan bahawa ia akan terus naik lagi untuk beberapa tahun akan datang.
