
LOS ANGELES: Dua takungan air terbesar di Amerika Syarikat (AS) mencatatkan paras terendah dalam sejarah ketika kemarau teruk melanda wilayah barat negara itu, menurut data yang dikeluarkan pada hujung minggu.
Rekod baharu itu menunjukkan cabaran semakin serius akibat perubahan iklim yang dihadapi Sungai Colorado, sumber air penting kepada kira-kira 40 juta penduduk.
Sungai berkenaan membekalkan air ke Lake Powell dan Lake Mead, dua takungan yang diwujudkan menerusi pembinaan empangan besar bagi mengagihkan bekalan air sepanjang tahun serta menjana tenaga elektrik.
Paras air kedua-dua takungan itu kini hanya sedikit melepasi tahap yang boleh menjejaskan pengeluaran elektrik.
Pada Ahad, paras air Lake Powell yang terletak sebahagian besarnya di Utah susut kepada 3,519.80 kaki (1,072.8 meter) dari aras laut, lebih rendah berbanding paras terendah sebelumnya yang direkodkan pada 2023, menurut data Biro Pemulihan, agensi persekutuan yang bertanggungjawab memantau Sungai Colorado.
Sementara itu, pada Jumaat, paras Lake Mead yang terbentuk hasil pembinaan Empangan Hoover di sempadan Nevada dan Arizona turun kepada 1,039.70 kaki (316.9 meter) dari aras laut, menurut data berkenaan.
Tujuh negeri yang bergantung kepada Sungai Colorado sudah bertahun-tahun berbalah mengenai kaedah pembahagian air sungai itu tanpa mencapai sebarang persetujuan.
Kebuntuan berkenaan memaksa pentadbiran Trump bertindak sebagai orang tengah, dengan memperkenalkan pelan pada akhir Julai yang merangkumi sekatan ketara bagi menangani kemarau yang mengancam sungai berkenaan.
Pelan baharu itu membolehkan pentadbiran mengenakan sekatan terhadap California, Arizona dan Nevada, dengan mewajibkan ketiga-tiga negeri berkenaan mengurangkan penggunaan air secara bersama sehingga 3.7 bilion meter padu setahun sehingga 2036.
Jumlah itu bersamaan kira-kira 1.5 juta kolam renang bersaiz Olimpik.
Pelan tersebut tidak mewajibkan usaha besar daripada Colorado, Utah, Wyoming dan New Mexico, iaitu empat lagi negeri yang bergantung kepada Sungai Colorado.
Ketidakseimbangan yang dipertikaikan itu berpotensi mencetuskan pertikaian undang-undang, dengan Arizona sudah memperuntukkan beberapa juta dolar bagi menghadapi kemungkinan tindakan mahkamah.- AFP
The post Kemarau: Paras air dua takungan terbesar AS merosot appeared first on Utusan Malaysia.






