
SABAK BERNAM – Rasa terkilan menyelubungi seorang lelaki apabila tidak sempat bertemu isterinya selama dua hari sebelum wanita itu maut selepas tudung yang dia pakai terbelit pada penggelek pintu kunci air (gate roller) ketika bertugas di sebuah kunci air, di sini petang semalam.
Basar Maslan, 63, berkata, dia tidak berkesempatan bertemu isterinya, Selaton Nuri, 55, kerana bekerja syif malam sebagai pengawal keselamatan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam.
Menurutnya, ketika kejadian dia sedang tidur di rumah sebelum menerima panggilan daripada menantu yang memaklumkan mengenai kejadian menimpa isterinya.
“Menantu minta saya ke lokasi. Dalam keadaan mamai dan kaki kebas, saya gagahkan juga memandu ke sana sebelum melihat isteri sudah ‘tiada’ sebaik tiba di kunci air.
“Memang terkilan tidak dapat jumpa isteri dua hari sebelum itu,” katanya.
Bercerita lanjut, dia berkata, sempat menghubungi Selaton pada pagi semalam untuk bertanyakan keberadaannya.
“Arwah maklum minum bersama anak sebelum memberitahu akan ke pasar, melawat orang dan akhir sekali ke kunci air itu.
“Saya beberapa kali menghubungi arwah namun gagal. Tak sangka umurnya tidak panjang dan Allah SWT lebih menyayanginya,” katanya.
Jelasnya, Selaton sudah 21 tahun bekerja sebagai penjaga kunci air selain pernah menyatakan hasrat untuk menunaikan ibadah haji dan hanya menunggu panggilan untuknya.
Difahamkan, jenazah Selaton akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bagan Terap hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md. Yusof Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat wanita berusia 55 tahun itu kira-kira pukul 4 petang. – KOSMO! ONLINE
The post 21 tahun arwah Selaton jadi penjaga kunci air – Suami appeared first on Kosmo Digital.





