
DUNGUN – Seorang penunggang skuter pengembaraan jenis Zontes rentung selepas merempuh sebuah lori kurier yang dikatakan terbabas di Kilometer 357, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) arah Kuantan berhampiran Bukit Besi, di sini hari ini.
Identiti mangsa yang maut dalam kemalangan pada pukul 5 pagi itu belum dikenal pasti.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktafi Billah Shah, Mohd. Kamaruzaman Mohd. Safii berkata, seramai lima anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat kemalangan pada pukul 5.05 pagi.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal dinaiki mangsa telah terbakar seratus peratus. Mayat lelaki ditemui rentung sebaik kebakaran tersebut berjaya dipadamkan,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Nik Ab. Halim Nik Mat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas lori membawa muatan kurier dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan.
“Skuter jenis Zontes gagal mengelak lalu merempuh lori kurier dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun yang dalam perjalanan ke Kuantan, Pahang tersebut.
“Impak rempuh menyebabkan skuter itu terbakar tanpa sempat penunggangnya menyelamatkan diri,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Penunggang skuter Zontes rentung, rempuh lori kurier terbabas appeared first on Kosmo Digital.


![[KEMASKINI] Penunggang skuter rentung di LPT 2 dikenal pasti seorang guru](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/RENTUNG-MENINGGAL-DUNIA-1024x768.jpeg)

