Proton, jenama pembuat kereta tempatan pertama Malaysia hari ini telah mengumumkan kemaskini kepada kenderaan SUV Proton X50 dengan wajah baru dan beberapa penambahan baru yang lain. Proton X50 menjadi salah satu daripada kenderaan kegemaran rakyat Malaysia dengan mencatatkan jualan SUV segmen-B yang tertinggi untuk lima tahun berturut-turut.

Proton X50 2025 memperlihatkan reka bentuk luaran yang diperbaharui dengan gril dan bumper hadapan baharu, spoiler belakang yang lebih garang, empat saluran ekzos, skema warna dwi-tona, dan set rim aloi bertekstur dengan rekaan baharu.
Bahagian dalaman Proton X50 ini juga memperlihatkan penaiktarafan bukan sahaja dari segi rekaan, tetapi juga keselesaaan pengguna, dengan sistem pencahayaan 72 warna, konsol terapung dan penutup tempat duduk yang diperbuat daripada bahan yang lembut dan selesa untuk disentuh.

Proton X50 Facelift juga kini merumahkan sistem inforia dengan panel 14.6 inci yang kini menyokong kedua-dua sistem operasi Android Auto dan Apple CarPlay. Lebih hebat lagi, sistem pengecaman suara pada Proton X50 kali ini juga boleh memahami Bahasa Malaysia, yang membolehkan pengguna untuk memberi arahan-arahan tertentu dalam bahasa kebangsaan.
Teknologi-teknologi lain yang diperlihatkan pada Proton X50 termasuklah sokongan untuk sistem ADAS Tahap 2 bersama-sama dengan Rear Side Radar System dan kamera 360 darjah yang membantu dengan sistem Blind Spot Monitoring di bahagian sisi kereta dan ciri .

Dari segi prestasi pula, Proton X50 dikuasakan oleh gabungan enjin i-GT 1.5 TD baharu dengan transmisi dwi-klac 7-kelajuan, Enjin ini boleh menjana kuasa 133 kW dan 290 Nm tork dan mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam hanya 7.6 saat.
Proton X50 2025 akan ditawarkan dalam tiga varian, termasuklah Executive, Premium dan Flagship, dimana varian Standard tidak lagi akan ditawarkan dalam pilihan warna Snow White, Passion Red, Jet Grey, Armour Silver dan Teal Bayou Green yang menggantikan warna Ocean Blue sebelum ini.
