Kemasukan buruh asing, FDI pacu permintaan penginapan pekerja berpusat

2 Sep 2026 • 2:37 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kemasukan buruh asing, FDI pacu permintaan penginapan pekerja berpusat

PETALING JAYA: Kedudukan Malaysia sebagai pusat pembuatan dan pelaburan langsung asing (FDI) serantau terus memacu pembangunan kemudahan tempat penginapan pekerja berpusat (CLQ) serta penginapan pekerja dibina khas (PBWA) di negara ini.

Perkembangan sektor berkenaan dipengaruhi oleh peningkatan jumlah pekerja asing berdaftar yang mencecah 2.12 juta orang pada 2025 mengikut data Kementerian Dalam Negeri, sekali gus melampaui paras pra-pandemik sebanyak 1.99 juta orang pada 2019.

Pertumbuhan berterusan dalam sektor pembuatan, logistik, pembinaan dan perladangan meningkatkan keperluan terhadap penyediaan kemudahan penginapan yang mematuhi piawaian undang-undang serta berintegrasi dalam taman perindustrian terancang.

Pengarah Urusan Kumpulan Knight Frank Malaysia, Keith Ooi berkata, industri kini menyaksikan peralihan drastik daripada perumahan kendalian majikan yang terpisah kepada kemudahan penginapan berpusat yang patuh perundangan.

“Semakin banyak taman perindustrian dan koridor logistik memasukkan elemen CLQ dan PBWA dalam rangka kerja pembangunan mereka susulan pengetatan peraturan serta permintaan tenaga kerja yang berterusan.

“Peralihan ini mencerminkan hala tuju ekosistem perindustrian yang lebih mampan dan berkelas pelaburan,” katanya dalam kenyataan.

Sektor penginapan pekerja kini mula diiktiraf sebagai kelas aset hartanah yang matang serta menarik penglibatan modal institusi, termasuk dimasukkan ke dalam portfolio Amanah Pelaburan Hartanah (REIT).

AME REIT menjadi pelopor di Malaysia dalam memasukkan kemudahan penginapan pekerja industri ke dalam portfolio pelaburannya secara jangka panjang.

Selain itu, kemasukan operator dari Singapura menerusi pengambilalihan enam aset PBWA merangkumi 7,200 katil di Johor bernilai RM110.8 juta pada September 2025 turut mengukuhkan daya tarikan pasaran berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kanan Tanah dan Penyelesaian Industri Knight Frank Malaysia, Allan Sim berkata, penekanan terhadap piawaian Alam Sekitar, Sosial dan Tata Kelola (ESG) serta kebajikan pekerja menjadi pemangkin utama pertumbuhan sektor ini.

“Pelaksanaan keperluan pematuhan yang ketat di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) menjadikan kemudahan CLQ dan PBWA komponen penting dalam ekosistem perindustrian negara.

“Kemudahan ini secara tidak langsung meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan jangka panjang, kepelbagaian rantaian bekalan, dan pembesaran sektor pembuatan,” jelasnya.

Langkah proaktif kerajaan menerusi penetapan semula had pekerja asing dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta kelulusan ketat di bawah Sistem Pengurusan Terpusat Pekerja Asing (FWCMS) turut mendorong majikan mematuhi garis panduan penginapan yang ditetapkan.

Malaysia juga terus mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila menduduki tangga tertinggi dalam kalangan negara membangun menerusi Indeks Peluang Global 2026 oleh Institut Milken, didorong oleh asas ekonomi dan institusi yang kukuh. – UTUSAN

The post Kemasukan buruh asing, FDI pacu permintaan penginapan pekerja berpusat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved