
PETALING JAYA: Urusan permohonan penggajian pekerja asing kini dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian menerusi Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) berkuat kuasa hari ini.
Kementerian Sumber Manusia berkata, pelaksanaan itu menggantikan kaedah permohonan secara manual atau hadir sendiri bagi mengurangkan keperluan majikan berulang kali ke pejabat kerajaan, selain memendekkan tempoh menunggu serta menjadikan proses lebih tersusun dan selaras dengan tatakelola.
Menurutnya, majikan kini boleh mengakses FWCMS menerusi www.fwcms.com.my.
“Pendigitalan proses terbabit tidak bermaksud syarat penggajian pekerja asing dilonggarkan.
“Semua permohonan masih tertakluk kepada penelitian, undang-undang, syarat kelayakan, dasar penggajian pekerja asing serta semakan oleh Agensi Kawal Selia (AKS) berkaitan,” menurut kenyataan itu hari ini.
Dalam pada itu, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan proses permohonan bermula daripada majikan mendapatkan kelulusan awal menggajikan pekerja asing di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955 sehingga mendapat Surat Kelulusan Bersyarat (SKB) yang boleh diperoleh dalam tempoh 14 hari tertakluk kepada permohonan lengkap serta pematuhan syarat dan kriteria ditetapkan.
Kementerian itu juga menyarankan majikan yang telah melalui temuduga atau hendak mengemukakan permohonan baharu untuk melengkapkan permohonan melalui FWCMS.
Sementara itu, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan pendekatan memudah cara permohonan majikan menerusi pelaksanaan pengagihan kuota secara berfasa diambil bagi melaksanakan pembukaan kuota penggajian 15,000 pekerja asing bagi industri restoran, seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Julai lalu.
“Dalam hal ini, 5,000 kuota pekerja asing melibatkan 1,033 majikan yang telah melalui temu duga mengikut kes sedang diproses untuk kelulusan,” katanya.
Kementerian itu turut memaklumkan cadangan mewujudkan Pusat Transit Pekerja Asing bagi menangani kesesakan kemasukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sedang diperhalusi dan akan dimulakan melalui pelaksanaan projek rintis kelak.-UTUSAN
The post Permohonan pekerja asing kini dalam talian appeared first on Utusan Malaysia.






