Kemasukan pelajar baharu UPM meningkat 19%, fokus akses pendidikan di Borneo

16/07/2025 - 12:50
Peningkatan jumlah pelajar baharu UPM mencerminkan keyakinan terhadap kualiti akademik yang ditawarkan Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 16 Julai - Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatatkan peningkatan kemasukan seramai 1,291 pelajar baharu atau 19 peratus bagi sesi akademik 2025/2026 berbanding 1,086 pada tahun lalu.
Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, daripada jumlah itu, seramai 902 pelajar mendaftar Program Asasi Pertanian (ASPer) di Kolej Tan Sri Aishah Ghani, kampus UPM Serdang dan 389 pelajar mendaftar program diploma dan persediaan diploma sains di UPM Sarawak (UPMS).
"Jumlah pelajar ASPer meningkat 17% berbanding 768 orang tahun lalu, manakala pelajar UPMS meningkat 22% berbanding 318 orang tahun lalu.
“Peningkatan pelajar di UPMS disumbangkan oleh strategi promosi melalui program Jom Masuk U, program Walk In@UPMS, promosi di sekolah-sekolah bandar dan luar bandar di Sarawak.
“Seramai 311 pelajar mengambil program diploma dan 78 pelajar lagi akan mengikuti pengajian diploma sains di UPMS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Program diploma yang ditawarkan ialah Kejuruteraan Teknologi Pertanian, Pembangunan Manusia, Pengurusan Perniagaan, Sains Komputer, Kesihatan Haiwan dan Penternakan, Pengurusan Perladangan Makanan, Perhutanan, Pertanian dan Perikanan.
Tambahnya, nama UPM Sarawak diumumkan secara rasmi pada 30 Jun lalu menggantikan nama lama, UPM Kampus Bintulu untuk mengukuhkan peranan UPM di Borneo dalam bidang pertanian, makanan, hutan dan pengajian lain.
“Kehadiran pelajar dari pelbagai negeri termasuk Sabah dan Sarawak mencerminkan peranan penting kampus ini dalam memperluaskan akses pendidikan tinggi di kawasan luar bandar dan Malaysia Timur,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata, program orientasi pelajar baharu iaitu Minggu Perkasa Putra anjuran Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni menekankan pembentukan sahsiah, pemantapan jati diri dan penghayatan kehidupan kampus.
“Lonjakan jumlah pendaftaran mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap UPM sebagai institusi yang menyediakan laluan akademik berkualiti tinggi, selari dengan aspirasi True North UPM, antaranya untuk memacu kecemerlangan global universiti berterusan.
“Kita komited dalam memastikan pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga berkembang secara holistik,” katanya.
Tambahnya, UPM melalui inisiatif Best Living and Learning Experience sentiasa menekankan persekitaran kampus yang kondusif, selamat dan inklusif bagi menyokong kebajikan serta kesejahteraan emosi, mental dan sosial para pelajar.
“UPM menyokong inisiatif Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambri Abdul Kadir melalui draf Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 yang menekankan akses pendidikan inklusif, transformasi digital dan daya saing global,” katanya.- DagangNews.com
standard



