MAA desak kerajaan buat ketetapan segera isu cukai eksais kenderaan baharu

LocalCars
16 Jul 2025 • 4:32 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MAA desak kerajaan buat ketetapan segera isu cukai eksais kenderaan baharu

image is not available

16/07/2025 - 16:32

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Julai – Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menggesa kerajaan supaya mempercepatkan keputusan berhubung pelaksanaan peraturan duti eksais baharu di bawah PU(A) 402/2019 iaitu Peraturan Duti Eksais.

Presidennya, Mohd Shamsor Mohd Zain berkata, kelewatan dan kesamaran maklumat dalam keputusan pengiraan semula Nilai Pasaran Terbuka (OMV) bagi tujuan duti eksais boleh menyebabkan harga kereta naik sehingga 30 peratus.

Beliau berkata, industri masih menunggu butiran rasmi mengenai kaedah pengiraan baharu duti import dan eksais yang dijangka berkuat kuasa bermula Januari 2026.

“Sudah tentu kami akan mengadakan libat urus dengan kerajaan dan berharap isu ini dapat diberi perhatian segera. Lima bulan bukan tempoh yang mencukupi bagi sebarang penyesuaian berkaitan pengeluaran.

“Apabila melibatkan rantaian bekalan, kesannya merangkumi logistik dan lebih lagi. Sekurang-kurangnya enam bulan diperlukan untuk menyesuaikan diri dengan sebarang perubahan. Justeru, kami harap langkah seterusnya dapat dimaklumkan segera,” katanya di Majlis Kajian Prestasi Pedagang dan Pengilang Kenderaan bagi Separuh Pertama Tahun 2025 yang diadakan di sini hari ini.

Tambahnya, berdasarkan peraturan sedia ada termasuk Akta Kastam, formula OMV ketika ini perlu disemak semula agar lebih telus dan adil kepada semua pihak.

Bagaimanapun, beliau percaya Kementerian Kewangan (MOF) akan meneliti perkara tersebut secara proaktif bagi meminimumkan, atau sebaiknya mengelakkan kesan negatif terhadap industri automotif tempatan.

Mohd Shamsor turut menekankan tempoh lima bulan yang ada tidak mencukupi untuk pemain industri membuat penyesuaian dari aspek logistik dan pengeluaran.

“Kami perlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan. Jadi, kami mohon kerajaan memberikan kemas kini mengenai perkara tersebut secepat mungkin,” katanya.

Pada Februari lalu, MOF menafikan laporan media yang mendakwa harga kenderaan di Malaysia akan melonjak secara mendadak bermula 2026 susulan pelaksanaan penuh peraturan baharu tersebut.

MOF sebelum ini menjelaskan dakwaan itu tidak tepat dan menegaskan kementerian bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) masih meneliti kaedah penilaian kenderaan bagi memastikan pelaksanaan duti dilakukan secara adil, berkecuali dan konsisten. - DagangNews.com

standard