
BESUT – Kemasukan klien secara sukarela untuk menerima rawatan ke pusat pemulihan pusat pemulihan penagihan dadah (Puspen) kendalian Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di seluruh negara telah meningkat tiga kali ganda sejak pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 berkuatkuasa, Ogos tahun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sepanjang tempoh itu, setiap bulan, purata 232 penagih dadah tampil secara sukarela untuk mendapatkan rawatan pemulihan berbanding cuma 75 orang sebelum ini.
Beliau berkata, sambutan menggalakkan itu berkaitan pemansuhan status jenayah atau nyahjenayah terhadap individu terjebak dengan penyalahgunaan dadah dalam pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
“Sehingga September lalu, Puspen kendalian AADK seluruh negara mempunyai 45,999 klien dengan 2,333 orang daripadanya tampil sukarela.
“Ini satu anjakan baharu dalam rawatan dan pemulihan dadah. Masih belum lonjakan saujana tetapi ia merupakan peningkatan luar biasa berbanding sebelum ini,” katanya di Felda Tenang, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau ditemui selepas meluncurkan program Kampung Angkat Madani Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Saifuddin Nasution berkata, ia selaras dengan harapan kerajaan yang mahu lebih ramai tampil mendapatkan rawatan pemulihan dadah secara sukarela tanpa perlu risau mempunyai rekod jenayah sewaktu melakukan pindaan akta itu.
Beliau percaya klien yang tampil secara sukarela mempunyai kesedaran tinggi sekali gus lebih mudah untuk dipulihkan berbanding mereka yang memasuki Puspen atas arahan mandatori mahkamah.
“Kebanyakan mereka yang tampil sukarela untuk mendapatkan rawatan pemulihan di Puspen (sejak Ogos tahun lalu) merupakan golongan muda,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Kemasukan sukarela ke Puspen meningkat 3 kali ganda appeared first on Kosmo Online.






