Klien sukarela AADK meningkat kepada 232 individu sebulan

LocalPolitics
18 Oct 2026 • 4:18 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Klien sukarela AADK meningkat kepada 232 individu sebulan

BESUT: Purata individu yang tampil secara sukarela mendapatkan rawatan dan pemulihan dadah di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) meningkat daripada 75 orang sebulan pada 2025 kepada 232 orang sebulan, tahun ini. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peningkatan itu menunjukkan perkembangan positif susulan pelaksanaan pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang berkuat kuasa pada 22 Ogos 2025.

Kata beliau, pindaan akta itu membawa pendekatan baharu dengan memberi penekanan kepada rawatan dan pemulihan secara sukarela tanpa hukuman atau stigma terhadap individu yang tampil mendapatkan bantuan.

“Jika klien datang secara sukarela untuk dipulihkan, mereka tidak akan mempunyai rekod jenayah. Itu yang membezakan pendekatan ini dan menjadi tarikan kepada mereka untuk tampil mendapatkan rawatan. 

“Oleh demikian kita di pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) mahu meningkatkan lagi penyertaan secara sukarela bagi membolehkan lebih ramai individu mendapatkan bantuan pemulihan tanpa perlu menunggu tindakan mandatori melalui mahkamah,” katanya selepas Peluncuran Kampung Angkat Madani dan Sekolah Madani di Felda Tenang di sini, hari ini. 

Sehingga bulan ini, AADK mengendalikan seramai 45,424 keseluruhan klien di seluruh negara merangkumi 43,090 klien di bawah perintah mandatori dan 2,335 klien secara sukarela.

Daripada jumlah klien sukarela itu, seramai 740 individu mendapatkan rawatan dan pemulihan secara sukarela dalam institusi (RPDI) di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN), manakala 1,595 individu mengikuti rawatan dan pemulihan secara sukarela dalam komuniti (RPDK).

Saifuddin Nasution berkata, AADK turut memperluas kemudahan pemulihan khusus bagi menggalakkan penyertaan secara sukarela termasuk melalui penubuhan 10 pusat pemulihan di seluruh negara. 

“Golongan remaja turut menunjukkan penyertaan dalam program berkenaan dengan lingkungan umur antara 15 tahun hingga 20 tahun,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata, usaha menangani masalah dadah perlu dilaksanakan menerusi tiga fungsi utama iaitu pencegahan, penguatkuasaan serta rawatan dan pemulihan.

Katanya, pendekatan pencegahan perlu dilaksanakan secara profesional di semua kawasan termasuk bandar, kampung tradisional dan taman perumahan tanpa memberikan tanggapan prejudis terhadap komuniti yang menerima program berkenaan.

“Langkah pencegahan perlu menjadi perkara biasa yang kita laksanakan. Saya mahu pegawai AADK tampil secara profesional dengan niat dan matlamat untuk mencegah masalah ini sebelum menjadi lebih serius,” katanya. – UTUSAN

 

 

The post Klien sukarela AADK meningkat kepada 232 individu sebulan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved