Kematian Asiah: Pemandu BYD didakwa esok

LocalCars
14 Oct 2026 • 5:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kematian Asiah: Pemandu BYD didakwa esok
Tangkap layar video tular memaparkan keadaan kemalangan di Jalan Kuching pada Sabtu.

KUALA LUMPUR - Pemandu BYD yang terlibat dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching di sini, Sabtu lalu sehingga mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun akan didakwa di Mahkamah Majistret Trafik Jalan Duta pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di sebuah hospital swasta di Damansara pada Rabu selepas dibenarkan keluar dari hospital.

Menurutnya, lelaki berkenaan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk ditahan di lokap kira-kira jam 12.30 tengah hari.

"Kertas siasatan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan pada jam 3 petang dan selepas perbincangan, pihak pendakwaan bersetuju untuk menuduh pemandu berkenaan di Mahkamah Majistret Trafik Jalan Duta pada jam 9 pagi, Khamis.

"Pemandu itu akan menghadapi tiga pertuduhan mengikut Seksyen 41(1), Seksyen 42(1) dan Seksyen 52(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan polis sedang melengkapkan siasatan kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching di sini, yang mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.44 petang itu, BYD Seal berkenaan dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah Perodua Bezza yang bergerak dalam aliran trafik perlahan dari arah pusat bandar menghala ke Segambut.

Pelanggaran itu turut melibatkan sebuah motosikal sebelum Perodua Bezza terbabit berpusing ke lorong kanan dan melanggar tiga kenderaan lain, iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi.

Akibat kejadian itu, Asiah Ahmad Syahir, lima tahun, yang menaiki Perodua Bezza mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pemandu Perodua Bezza berusia 30 tahun pula mengalami luka di tangan kanan, manakala penunggang motosikal Yamaha 135LC berusia 33 tahun cedera di kepala.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved