Nahas ragut nyawa kanak-kanak, pemandu BYD didakwa esok

LocalCars
14 Oct 2026 • 7:33 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Nahas ragut nyawa kanak-kanak, pemandu BYD didakwa esok

SHAH ALAM, 14 OKT: Pemandu kereta BYD yang terbabit dalam kemalangan enam kenderaan di Jalan Kuching sehingga mengorbankan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Sabtu lalu, akan didakwa di Mahkamah Majistret Trafik Jalan Duta, Kuala Lumpur esok (15 Oktober).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di sebuah hospital swasta di Damansara hari ini selepas dibenarkan keluar dari hospital.

Menurutnya, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sebelum dimasukkan ke lokap kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

“Kertas siasatan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan pada jam 3 petang dan selepas perbincangan, pihak pendakwaan bersetuju untuk menuduh pemandu berkenaan di Mahkamah Majistret Trafik Jalan Duta pada jam 9 pagi, esok.

“Pemandu itu akan menghadapi tiga pertuduhan mengikut Seksyen 41(1), Seksyen 42(1) dan Seksyen 52(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, kemalangan kira-kira jam 3.44 petang Sabtu lalu membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching dari arah pusat bandar menghala ke Segambut.

Kereta BYD Seal dipandu lelaki berkenaan dipercayai melanggar bahagian belakang Perodua Bezza yang bergerak dalam aliran trafik perlahan.

Pelanggaran itu turut membabitkan sebuah motosikal sebelum Perodua Bezza berpusing ke lorong kanan dan melanggar tiga kenderaan lain iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi.

Akibat kejadian itu, Asiah Ahmad Syahir, 5, yang menaiki Perodua Bezza mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved