
LAHAD DATU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengesahkan kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan berlaku di sebuah pusat jagaan kanak-kanak berdaftar.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pusat jagaan kanak-kanak itu juga telah mematuhi prosedur ditetapkan dan pemeriksaan telah dijalankan bagi memastikan perkara itu.
“Tapak asuhan kanak-kanak itu diperiksa tiga kali pada 2025 tanpa sebarang aduan, dan sebelum ini tidak pernah ada sebarang isu di sana,” katanya.
Menurut Nancy, perintah penutupan sementara dikeluarkan susulan kejadian itu dan kes itu kini dalam siasatan polis.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dua penjaga telah ditahan dan direman, manakala rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular juga sedang dalam pemeriksaan polis,” katanya.
Nancy berkata demikian ketika ditemui pada Program Sinar Syawal YKN dan Jalinan Kasih PSSS di Masjid Nurul Jihad pada Jumaat.
Nancy berkata sebarang maklumat lanjut berhubung kejadian itu perlu dirujuk kepada polis. Nancy juga berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat sedang membantu ibu bapa mencari taska atau pusat asuhan alternatif berikutan penutupan pusat terbabit yang telah menjejaskan kira-kira 40 kanak-kanak.
Terdahulu, sempena program itu, Nancy menyampaikan bakul makanan kepada 100 penerima bagi membantu meringankan beban dan menceriakan keluarga asnaf menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Pada program itu, beliau turut menyampaikan peruntukan geran berjumlah RM120,000 kepada empat penerima sebagai sebahagian daripada usaha menyokong pembangunan masyarakat dalam bidang agama, seni dan budaya.


