GEORGE TOWN – Dua pengasuh sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Seberang Jaya yang kini direman bagi membantu siasatan kes kematian bayi lelaki berusia empat bulan didapati belum mengikuti Kursus Asuhan Permata (KAP) seperti yang diwajibkan.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, kedua-dua wanita berkenaan merupakan antara pengasuh yang bertugas di taska terbabit ketika kejadian dilaporkan pada 9 Mac lalu.
Menurutnya, hasil semakan mendapati pusat jagaan tersebut beroperasi secara sah dan mematuhi syarat pendaftaran termasuk sistem National Integrated System of Childcare (NISPA).
Bagaimanapun katanya, pemeriksaan lanjut menemukan beberapa kelemahan berkaitan pengurusan syif serta pematuhan syarat latihan KAP dalam kalangan pengasuh yang bertugas.
“Taska ini berdaftar dan mematuhi syarat yang ditetapkan, namun dua pengasuh yang kini ditahan polis didapati belum mengikuti Kursus Asuhan Permata seperti yang diwajibkan kepada pengasuh taska,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya, Komtar di sini pada Khamis.
Siew Khim berkata, kegagalan menghadiri KAP merupakan perkara serius kerana kursus itu bertujuan memastikan pengasuh mempunyai kemahiran serta pengetahuan asas dalam pengendalian bayi dan kanak-kanak di pusat jagaan.
Sehubungan itu katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan meningkatkan pemantauan dan melakukan pemeriksaan lebih kerap bagi memastikan semua taska mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan taska berkenaan telah diarahkan menghentikan operasi buat sementara waktu bagi memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan.
“Taska ini telah diarahkan tutup sementara bermula hari kejadian pada 9 Mac lalu dan tidak dibenarkan beroperasi sehingga siasatan polis selesai,” katanya.
Menurutnya, pusat jagaan tersebut sebelum ini menempatkan 44 kanak-kanak berusia bawah empat tahun termasuk mangsa, dengan kebanyakannya merupakan anak kepada kakitangan hospital berhampiran.
Beliau berkata, susulan penutupan itu, seramai 43 kanak-kanak kini perlu ditempatkan di pusat jagaan lain dan JKM telah menyediakan senarai taska alternatif bagi membantu ibu bapa mendapatkan tempat penjagaan baharu.
"Taska berkenaan telah beroperasi kira-kira empat tahun dan mempunyai tujuh pengasuh yang masih dalam tempoh untuk mengikuti KAP.
“Setakat ini, tiada sebarang aduan rasmi pernah diterima terhadap taska tersebut sebelum kejadian ini dilaporkan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, dua pekerja wanita berusia 22 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan di sebuah pusat jagaan 24 jam di kawasan Hospital Seberang Jaya.
Penahanan reman itu dibuat selepas Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan polis telah membuka kertas siasatan mengikut kes bunuh susulan kematian bayi lelaki tersebut.
Mangsa, Hayl Haarith Mohd Syafaeez ditemukan tidak sedarkan diri di pusat jagaan bayi 24 jam yang terletak dalam kawasan hospital berkenaan pada awal pagi Isnin lalu.
Bayi itu kemudian dikejarkan ke jabatan kecemasan hospital berkenaan kira-kira jam 4 pagi selepas ibunya, Ummu Habibah Wahab, 30 yang juga jururawat bertugas syif malam menerima panggilan memaklumkan wajah anaknya bertukar kebiruan.
Pasukan perubatan dilaporkan menjalankan prosedur resusitasi kardiopulmonari selama kira-kira sejam bagi menyelamatkan mangsa namun bayi tersebut gagal diselamatkan.
Difahamkan, bayi berkenaan baru sahaja dihantar ke pusat jagaan itu selepas ibunya kembali bertugas selepas tamat tempoh berpantang.
Mangsa juga merupakan anak sulung pasangan berkenaan.
Sementara itu, keluarga bayi terbabit menuntut keadilan atas kematian kanak-kanak tersebut.
Bapanya, Mohd Syafaeez Mat Liki, 35 menegaskan bahawa dia tidak akan memaafkan individu yang bertanggungjawab terhadap kematian anaknya.

