Kematian di Pulau Tioman, status lesen pusat selam perlu disiasat

4 Oct 2026 • 9:04 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kematian di Pulau Tioman, status lesen pusat selam perlu disiasat

PETALING JAYA – Status lesen operasi pusat selam dan kelayakan profesional pengajar antara aspek utama yang perlu disiasat susulan dua kematian melibatkan aktiviti selam skuba di Pulau Tioman dalam tempoh kurang sebulan.

Presiden Persatuan Penyelam Skuba Malaysia (MSDA), Aminor Azmi Abdul Latip berkata, semakan perlu dibuat terhadap lesen operasi pusat selam terbabit termasuk status pembaharuan tahunan serta kelayakan dan tauliah profesional pengajar.

Katanya, status aktif sijil Emergency First Response (EFR) pengajar yang terlibat juga perlu diteliti bagi memastikan semua keperluan keselamatan dipatuhi.

“MSDA menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) serta pihak berkuasa berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh, teliti dan berkecuali.

“Ini penting bagi mengenal pasti fakta sebenar tanpa membuat sebarang kesimpulan awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Gesaan itu dibuat susulan kematian Mohammed Seyar Musazay ketika menyertai aktiviti Discover Scuba Diving (DSD) berhampiran Kampung Salang, Pulau Tioman pada 30 September lalu.

Kejadian itu merupakan tragedi kedua selepas seorang lagi pelancong asing meninggal dunia susulan aktiviti menyelam di Tioman pada 12 September lalu.

Menurut Aminor Azmi, selain lesen dan kelayakan pengajar, siasatan perlu meneliti nisbah pengajar atau penyelia kepada peserta, bilangan petugas, keadaan peralatan serta prosedur operasi yang digunakan.

“Prosedur tindak balas kecemasan dan tindakan di lokasi kejadian juga perlu diteliti sama ada mematuhi prosedur keselamatan ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran serius terhadap prosedur keselamatan, peraturan pelesenan atau kecuaian, tindakan tegas termasuk menghentikan operasi pengendali terbabit perlu diambil.

“Pengendali yang didapati melakukan kecuaian sedemikian tidak boleh dibiarkan terus beroperasi dalam industri ini,” katanya.- KOSMO! ONLINE

The post Kematian di Pulau Tioman, status lesen pusat selam perlu disiasat appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved