Kematian dicemburi, warga emas meninggal dunia ketika sujud solat sunat di surau

22 Mar 2026 • 2:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Rusli Ab Wahab meninggal dunia ketika sedang sujud semasa menunaikan solat sunat sebelum Zuhur pada hari raya pertama Aidilfitri.

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki dilaporkan rebah sebelum meninggal dunia ketika sedang solat di Surau Taman Seri Jenaris, Tikam Batu di sini pada 1 Syawal semalam.

Rakan arwah, Kadir Din, 63, berkata, Rusli Ab Wahab, 63, seorang yang baik dan sering menunaikan solat secara berjemaah di surau ataupun masjid setiap kali masuk waktu.

Menurutnya, pemergian arwah dalam keadaan sedang sujud semasa menunaikan solat sunat sebelum Zuhur pada hari raya pertama Aidilfitri, sesuatu yang sangat dicemburui.

"Arwah sempat melaungkan azan sebaik masuk waktu solat Zuhur sebelum menunaikan solat sunat secara bersendirian di dalam surau.

"Saya berada di luar ambil wuduk dan apabila masuk dalam terus nampak dia dah rebah," katanya.

Mereka kemudian menghubungi ambulans sebelum pemeriksaan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa menunaikan solat sunat selepas melaungkan azan.

"Bagaimanapun, ketika sujud kedua, dia rebah dan tidak sedarkan diri," katanya.

Jenazah dimandi dan dikafankan di Surau Taman Seri Jenaris sebelum dikebumikan selepas solat Maghrib di Tanah Perkuburan 2 Kariah Masjid Pulau Sepom Tikam Batu pada Sabtu.