SUNGAI PETANI - [DIKEMAS KINI] "Arwah sering berjemaah di surau setiap waktu dan seorang yang pemurah, sehingga apa sahaja dia ada akan diberikan seikhlas hati kepada orang lain.
Demikian perkongsian Latifah Mohd Sidek, 61, mengenai arwah suaminya, Rusli Ab Wahab, 63, dari Tikam Batu yang meninggal dunia ketika sedang menunaikan solat sunat Zuhur di Surau Taman Seri Jenaris pada 1 Syawal, Sabtu.
Menurut Latifah, arwah suaminya sememangnya sentiasa bersedia untuk berjemaah di surau setiap kali masuk waktu solat fardu dan sepanjang Ramadan, turut berbuka puasa di sana setiap hari.
"Sepanjang hayatnya, arwah suka 'memberi', bersedekah dan sejak dulu, ramai yang mencarinya jika ditimpa masalah...dia bukan orang yang banyak harta tetapi sesiapa sahaja yang mai jumpa, pasti dia bagi... walaupun dia sendiri tidak banyak duit ketika itu.
"Dia sentiasa berpesan pada kami, tak mengapa kita tolong...nanti ALLAH gantikan ganjaran rezeki lain pula," jelasnya.
**media[3469333]**
Menurut Latifah, kebaikan arwah suami kadang-kala diambil kesempatan oleh pihak tertentu namun didikan Rusli terhadap keluarga ialah perlu sentiasa bersangka baik dan tetap bersabar selain bergantung harap kepada ALLAH SWT dalam apa jua keadaan.
Latifah berkata, sebelum ini, suaminya sering berkongsi tentang kematian dan sentiasa mengingatkan anak-anak amalan yang perlu dilakukan sekiranya mahu meninggal dunia dalam keadaan husnul khatimah.
"Dia selalu merendah diri kerana tidak belajar tinggi namun dengan kepayahan dan segala usaha yang dilakukan berjaya menghantar anak-anak mendalami ilmu agama dan dua anak lelaki menjadi pelajar tahfiz," katanya.
Menceritakan kejadian pada 1 Syawal, selepas selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri di surau sama, arwah suaminya mengajak mereka ke rumah ibunya di Kampung Padang Buluh di sini.
"Pada kebiasaan, perjumpaan sebelah keluarga sana dibuat pada waktu malam hari raya pertama tetapi lepas sembahyang raya, dia cepat-cepat ajak nak balik kampung nak jumpa mak.
"Saya beritahu malam nanti baru berkumpul, dia jawab 'nak jumpa mak tak perlu tunggu sampai malam'...rupanya pagi tu kali terakhir dia salam minta ampun pada mak sebelum ajalnya sampai beberapa jam kemudian," jelasnya.
Latifah bagaimanapun bersyukur apabila arwah suaminya dijemput Ilahi pada hari dan dalam keadaan mulia.
Dia turut sebak apabila ada kenalan dan saudara yang menceritakan kepadanya terhidu bau harum ketika menziarahi jenazah di tanah perkuburan.
Dalam kejadian kira-kira 1.30 petang, Rusli rebah ketika sedang sujud semasa menunaikan solat sunat Zuhur pada 1 Syawal, Sabtu.
Rakan arwah, Kadir Din, 63, berkata, Rusli seorang yang baik dan sering mengutamakan solat secara berjemaah di surau ataupun masjid setiap kali masuk waktu.
"Setiap petang, dia rajin ambil bubur lambuk di Masjid Pulau Sepom untuk diagihkan sebab di Surau Taman Seri Jenaris tiada juadah tersebut," jelasnya.
Menurut Kadir, pemergian arwah dalam keadaan sedang sujud semasa menunaikan solat sunat sebelum Zuhur pada hari raya pertama Aidilfitri merupakan sesuatu yang sangat dicemburui umat Islam.
"Masa kejadian saya berada di luar sedang ambil wuduk dan apabila masuk terus nampak dia dah rebah," katanya.
Mereka kemudian menghubungi ambulan sebelum pemeriksaan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV ) menunjukkan mangsa menunaikan solat sunat selepas melaungkan azan.
"Bagaimanapun, ketika sujud kedua, dia tersungkur sebelum rebah dan tidak sedarkan diri," katanya.
Urusan pengebumian jenazah diuruskan keluarga dan anak-anak arwah di mana dimandi dan dikafankan di Surau Taman Seri Jenaris sebelum dikebumikan selepas solat Maghrib di Tanah Perkuburan 2 Kariah Masjid Pulau Sepom, Tikam Batu.



