Pergi Ketika Mencari Jalan Pulang, Bapa Nur Izzati Reda Dengan Ketentuan Allah

26 May 2026 • 6:03 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Pergi Ketika Mencari Jalan Pulang, Bapa Nur Izzati Reda Dengan Ketentuan Allah

KUALA KUBU BHARU — Dalam suasana penuh pilu, bapa kepada Nur Izzati Humaira Azizul yang ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai tersesat ketika mendaki Bukit Changkat Asa menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mengirim doa sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

Azizul Abdul Aziz, 48, berkata, kehilangan anak keduanya daripada empat beradik itu amat berat untuk diterima, namun keluarga reda dengan ketentuan Allah SWT.

“Saya sudah tengok jenazah anak saya. Alhamdulillah keadaan auratnya tertutup dan terjaga dengan sempurna. Seluruh Malaysia mendoakan dia,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB), hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota penyelamat serta pihak yang terlibat yang bertungkus-lumus menjalankan operasi SAR sejak Sabtu lalu selepas anaknya dilaporkan hilang.

Menurut laporan BERNAMA, keluarga mangsa turut memaklumkan segala urusan berkaitan jenazah akan diteruskan sebaik sahaja proses bedah siasat selesai.

Jenazah Dibawa Ke Sungai Buloh Sebelum Dikebumikan Di Perak

Menurut Azizul, jenazah Nur Izzati Humaira, 19, akan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat sebelum dibawa pulang ke kampung halaman di Felda Trolak Utara, Sungkai, Perak.

Sebelum ini, proses bedah siasat dijadualkan dijalankan di HKKB.

“Jenazah akan dibawa ke Masjid Ar-Riduaniah, Felda Trolak Utara untuk disolatkan dan dikebumikan di tanah perkuburan felda berkenaan secepat mungkin selepas selesai urusan bedah siasat,” katanya.

Ditemukan Di Luar Laluan Pendakian

Terdahulu, mayat remaja itu ditemukan oleh anggota operasi SAR kira-kira jam 11.59 pagi tadi di kawasan luar laluan pendakian.

Lokasi penemuan dilaporkan berada kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat dan sekitar satu kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

Untuk rekod, Nur Izzati Humaira dipercayai tersesat sekitar jam 10.50 pagi Sabtu lalu ketika menuruni bukit bersama keluarganya.

Allahyarham dilaporkan mengambil keputusan untuk bergerak sendiri lebih awal menuju ke kaki bukit kerana berasa panas dan penat sebelum disedari hilang.

Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan keluarga diberikan kekuatan menghadapi ujian ini. – The Malaysian Update

The post Pergi Ketika Mencari Jalan Pulang, Bapa Nur Izzati Reda Dengan Ketentuan Allah appeared first on The Malaysian Update.