HULU SELANGOR - Jasad remaja, Nur Izzati Humaira Azizul, 19, yang dijumpai meninggal dunia pada Selasa selepas dilaporkan hilang di Bukit Changkat Asa di sini berada dalam keadaan sempurna.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, mangsa ditemukan pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 11.58 pagi.
"Lokasi mangsa ditemukan terletak kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir dia dilihat dan satu kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
"Tiada kesan luka pada jasad mangsa, hanya calar-calar," katanya pada Selasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Remaja perempuan hilang ketika mendaki di Tanjung Malim
Nur Izzati Humaira masih hilang, lokasi pencarian seluas 0.43km persegi
Polis teliti faktor luaran kes remaja sesat di Bukit Changkat Asa
'Masih bernyawa atau tinggal jasad, kami harap Nur Izzati ditemui' - Bapa
Tambahnya, mangsa juga dijumpai dalam keadaan yang masih lengkap berpakaian dan tiada tanda serangan haiwan liar.
Jelasnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu bagi tindakan lanjut.
Sebelum itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu telah digerakkan ke lokasi selepas menerima laporan kehilangan mangsa pada jam 1.28 petang, Sabtu lalu.
Antara pasukan terlibat dalam SAR itu ialah JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan pertahanan Awam (APM), Bomba Sukarela, Pejabat Hutan, Pejabat Tanah, Malim Gunung (MGP) serta barisan sukarelawan.
