
SEBERANG PERAI – Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari menggesa siasatan berhubung kematian murid berusia 11 tahun yang didakwa meninggal dunia akibat jantung dilakukan secara menyeluruh tanpa sebarang kompromi.
Beliau berkata, semua aspek berkaitan kejadian pada 14 April lalu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pak Kiau, Kedah perlu diteliti dan pihak berkaitan wajar diberikan ruang untuk memberi keterangan serta penjelasan.
“Saya ingin menegaskan perkara ini perlu disiasat dengan teliti, menyeluruh, telus dan berintegriti. Tiada mana-mana aspek yang berkaitan dengan kejadian ini wajar diketepikan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, keluarga Nur Qaira Alisha Ahmad Ilwan berhak mendapat penjelasan berasaskan fakta mengenai kejadian yang menimpa kanak-kanak perempuan tersebut.
Katanya, pihak pendidikan sebelum ini menjalankan siasatan berhubung aduan yang dikemukakan keluarga mangsa.
“Sekiranya siasatan mendapati wujud sebarang kecuaian, pelanggaran peraturan atau salah laku, tindakan sewajarnya mesti diambil tanpa kompromi, selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan aspek keselamatan dan kebajikan murid tidak boleh dipandang ringan atau dikompromi sekiranya terdapat sebarang kelemahan yang dikenal pasti.
Bagaimanapun, beliau meminta semua pihak memberikan ruang kepada proses siasatan untuk berjalan secara adil dan profesional tanpa membuat sebarang kesimpulan sebelum semua fakta diperoleh dan diteliti.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada ibu bapa dan seluruh keluarga murid berkenaan serta berharap mereka diberikan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan tersebut.
Terdahalu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengarahkan Unit Integriti KPM mengambil tindakan berhubung kematian Nur Qaira selaras dengan peraturan dan undang-undang berkuat kuasa.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai perkongsian bapa mangsa mendakwa anaknya yang mengalami masalah jantung diarahkan guru untuk menyertai aktiviti larian pada sesi pemilihan rumah sukan walaupun surat pengesahan mengenai penyakit Nur Qaira telah diberikan.
Susulan kejadian itu, Nur Qaira didakwa hanya terlantar dan bergantung dengan mesin oksigen sebelum disahkan meninggal dunia pada Isnin lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Kematian Nur Qaira: Keluarga berhak dapat penjelasan – Dr. Taufiq appeared first on Kosmo Digital.



