ALOR SETAR - Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari menggesa agar siasatan menyeluruh dilakukan, berhubung kes seorang murid perempuan berusia 11 tahun yang didakwa meninggal dunia akibat penyakit jantung, selepas dipaksa bersukan oleh seorang guru di sini.
Beliau berkata, seluruh warga Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut berdukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada ibu bapa serta seluruh keluarga Allahyarham Nur Qaira Alisha Ahmad ‘Ilwan.
"Saya dimaklumkan bahawa pihak berkuasa pendidikan telah menjalankan siasatan berhubung aduan yang dikemukakan oleh keluarga Allahyarham berkaitan kejadian pada 14 April, yang berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pak Kiau.
"Perkara ini perlu disiasat dengan teliti, menyeluruh, telus dan berintegriti. Tiada mana-mana aspek yang berkaitan dengan kejadian ini wajar diketepikan dan semua pihak yang berkaitan perlu diberi ruang untuk memberikan keterangan serta penjelasan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berpandangan bahawa keluarga Allahyarham berhak mendapat penjelasan yang sewajarnya, menyeluruh dan berasaskan fakta mengenai apa yang telah berlaku.
"Jika siasatan mendapati wujud sebarang kecuaian, pelanggaran peraturan atau salah laku, tindakan sewajarnya mesti diambil tanpa kompromi, selaras dengan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
"Dalam perkara yang melibatkan keselamatan dan kebajikan murid, kita tidak boleh mengambil mudah atau berkompromi terhadap sebarang kelemahan yang dikenal pasti,” katanya.
Mohammed Taufiq berkata lagi ruang juga perlu diberikan kepada proses siasatan untuk berjalan secara adil dan profesional, tanpa membuat sebarang kesimpulan sebelum semua fakta diperoleh dan diteliti.
"Dalam masa yang amat menyedihkan ini, marilah kita berikan ruang dan sokongan yang sewajarnya kepada keluarga Allahyarham. Semoga mereka diberikan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini,” katanya.
Sebelum ini, tular perkongsian bapa mangsa di media sosial yang mendakwa anaknya yang mengalami masalah jantung, diarahkan oleh seorang guru untuk menyertai aktiviti larian pada pemilihan rumah sukan, walaupun surat pengesahan tentang penyakitnya itu telah diberikan. Isu itu mendapat banyak reaksi daripada pelbagai pihak. - Bernama






