Kes Nur Qaira: Guru ditukar sekolah sementara tunggu siasatan KPM – JPN Kedah

LocalHealth & Fitness
28 Aug 2026 • 12:36 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Guru yang dikaitkan dengan kematian seorang murid perempuan berusia 11 tahun, Nur Qaira Alisha Ahmad ‘Ilwan, telah ditukarkan ke sekolah lain sementara menunggu hasil siasatan berhubung dakwaan murid berkenaan dipaksa menyertai aktiviti sukan meskipun mempunyai penyakit jantung.

Jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah berkata, pertukaran guru terbabit dilakukan selepas siasatan awal dijalankan sebagai langkah intervensi bagi menangani perkara berkenaan.

“Pada masa ini, tindakan telah diserahkan kepada unit integriti Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tindakan seterusnya.
“Orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu dan memberikan ruang kepada pihak JPN dan KPM untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Image from: Kes Nur Qaira: Guru ditukar sekolah sementara tunggu siasatan KPM – JPN Kedah

Menurut sumber dalaman sekolah, insiden berkenaan berlaku pada 14 April lalu ketika Nur Qaira Alisha dikatakan menyertai pemilihan acara larian 80 meter bagi program sukan sekolah.

Sumber itu berkata, Allahyarhamah mempunyai sejarah penyakit jantung sejak kecil dan keadaan kesihatannya dipercayai merosot selepas menyertai aktiviti tersebut.

“Murid itu memang mempunyai sejarah penyakit jantung daripada kecil. (Selepas bersukan), murid berkenaan jatuh sakit dan mula mendapat rawatan pada 17 April dan tidak hadir ke sekolah selama empat bulan dan aduan daripada waris telah dibuat pada 10 Mei,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek sebelum ini mengarahkan unit integriti KPM mengambil tindakan lanjut berhubung kematian Nur Qaira Alisha mengikut peraturan serta undang-undang yang ditetapkan.

Beliau turut memaklumkan JPN Kedah telah menjalankan siasatan susulan aduan yang dikemukakan oleh keluarga Allahyarhamah.

Image from: Kes Nur Qaira: Guru ditukar sekolah sementara tunggu siasatan KPM – JPN Kedah

Kes berkenaan mendapat perhatian selepas bapa Nur Qaira Alisha membuat perkongsian di media sosial, mendakwa anaknya yang mempunyai masalah jantung diarahkan seorang guru menyertai larian ketika pemilihan rumah sukan, walaupun surat pengesahan mengenai keadaan kesihatannya telah diserahkan.

Susulan kejadian itu, Nur Qaira Alisha dikatakan terlantar dan memerlukan bantuan oksigen sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 7.49 malam, Rabu lalu.

Perkembangan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya yang menggesa siasatan dijalankan dan tindakan sewajarnya diambil sekiranya terdapat pihak yang didapati bertanggungjawab.

Sumber: Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved