Kematian Pemandu Teksi Motosikal Cetus Rusuhan Di Jakarta

WorldPolitics
29 Aug 2025 • 9:53 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

JAKARTA – Suasana tegang melanda Jakarta Pusat susulan insiden seorang pemandu teksi motosikal, Affan Kurniawan, maut selepas dilanggar kenderaan taktikal polis ketika perhimpunan pada malam Rabu, lapor Jakarta Globe.

Kemarahan Penduduk Meletus

Kematian Affan mencetuskan kemarahan orang awam yang berlanjutan hingga ke pagi tadi, apabila sekumpulan penunjuk perasaan menyerang Ibu Pejabat Unit Briged Bergerak (Brimob) di Kwitang.

Mereka bertindak merosakkan serta membakar beberapa kemudahan awam termasuk pembahagi laluan bas TransJakarta, papan tanda lalu lintas dan sebuah pos polis di bawah jejambat Senen.

Selain itu, lapan kenderaan turut hangus dibakar, manakala laluan utama dari Salemba ke Senen dan dari Tugu Tani ke Senen terpaksa ditutup.

Polis Guna Gas Pemedih Mata

Walaupun intensiti rusuhan dilaporkan berkurangan berbanding malam sebelumnya, orang ramai masih memenuhi kawasan sekitar ibu pejabat Brimob.

Pasukan keselamatan menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan orang ramai serta mengawal aliran trafik untuk mengelakkan keadaan bertambah buruk.

Tuntut Siasatan Terperinci

Kematian Affan turut meningkatkan desakan awam agar siasatan telus dilakukan terhadap cara polis mengendalikan demonstrasi tersebut.

Pelbagai pihak menuntut supaya pegawai dan anggota yang cuai dikenakan tindakan undang-undang.

Demonstrasi Pelajar & Pekerja

Sebelum rusuhan tercetus, demonstrasi bermula dengan penyertaan pelajar universiti dari pelbagai kampus.

Terdahulu, kumpulan pekerja mengadakan protes di hadapan bangunan Parlimen, Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), yang berakhir sekitar jam 1 tengah hari.

Pihak Luar Disyaki Menyusup

Jurucakap Polis Jakarta, Ade Ary Syam Indradi, berkata rusuhan malam itu didalangi individu tidak bertanggungjawab yang menyusup ke dalam kumpulan penunjuk perasaan.

“Mereka tidak mempunyai struktur atau identiti kumpulan yang jelas, tetapi melakukan tindakan liar,” katanya pada sidang media semalam.

Pempengaruh Hadir Pengebumian Mangsa

Kehadiran pempengaruh media sosial terkenal, Aisar Khaled, turut mencuri perhatian apabila beliau dilihat hadir ke majlis pengebumian Affan Kurniawan pada malam Khamis.

Dalam perkongsian video oleh akaun @inibukanniko, Aisar yang berpakaian serba hitam kelihatan memberikan penghormatan terakhir bersama ribuan pemandu gojek serta orang ramai yang hadir.

Tindakan tersebut menerima pujian rakyat Indonesia yang terharu dengan sokongan diberikan oleh pempengaruh berkenaan.

Affan Jadi Tulang Belakang Keluarga

Affan, 21, bekerja sebagai pemandu gojek untuk menyara tujuh ahli keluarganya. Mangsa maut selepas digilis trak taktikal polis jenis Barracuda ketika sedang menghantar makanan pelanggan di kawasan Bendungan Hilir, Jakarta.

Permohonan Maaf Polis Dan Presiden

Ekoran kejadian itu, Ketua Polis Indonesia bersama Presiden Prabowo Subianto tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga mangsa.

Pihak berkuasa turut mengesahkan tujuh anggota polis yang berada dalam kenderaan taktikal tersebut telah ditahan bagi siasatan lanjut. – The Malaysian Update

The post Kematian Pemandu Teksi Motosikal Cetus Rusuhan Di Jakarta appeared first on The Malaysian Update.