ALOR SETAR – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mahu Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk mengembalikan keistimewaan asal Pulau Langkawi sebagai pulau bebas cukai bagi merancakkan semula sektor pelancongan dan ekonomi setempat.
Baginda bertitah bahawa meskipun status pulau bebas cukai masih dikekalkan, beberapa keistimewaan yang sebelum ini dinikmati telah dikurangkan termasuk pelaksanaan kadar cukai terhadap kenderaan serta cukai ke atas produk berasaskan tembakau dan barangan tertentu.
Menurut baginda, situasi tersebut memberi kesan kepada daya tarikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama negara.
“Sehubungan itu, Beta menyeru agar Kerajaan Persekutuan dapat mengembalikan status Pulau Langkawi sebagai pulau bebas cukai dengan keistimewaan-keistimewaan seperti sebelum ini,” titah baginda pada Isnin.
Sultan Kedah bertitah demikian pada Istiadat Perasmian Pembukaan Dewan Undangan Negeri Kedah, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Aman, di sini.
Dalam masa yang sama, baginda berpandangan pembangunan pesat di Langkawi perlu disokong dengan penyediaan infrastruktur yang mencukupi dan berdaya tahan.
Baginda menegaskan bahawa kekangan dari segi infrastruktur sokongan, aksesibiliti ke pulau serta kemudahan jeti yang efisien masih menjadi cabaran utama yang menjejaskan kelancaran pembangunan di pulau berkenaan.
Selain itu, baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap kekerapan perkhidmatan feri ke Langkawi yang disifatkan masih terhad.
Sehubungan itu, baginda berharap pihak berwajib dapat meneliti dan menambah baik sistem pengangkutan feri termasuk mempertimbangkan semakan semula kadar subsidi diesel kepada pengusaha feri.
“Langkah ini penting bagi memastikan kelancaran perhubungan serta menyokong pertumbuhan sektor pelancongan di Langkawi,” titah baginda lagi.
Baginda menambah bahawa isu-isu berbangkit tersebut telah memberi kesan kepada kemasukan pelancong, sekali gus menjejaskan pendapatan pengusaha serta peniaga tempatan selain memberi impak kepada kehidupan penduduk di pulau itu.
Justeru, baginda menegaskan usaha bersepadu perlu dilaksanakan bagi memastikan potensi sebenar Langkawi dapat direalisasikan sepenuhnya sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri dan negara.
Langkawi sebelum ini diisytiharkan sebagai pulau bebas cukai pada 1 Januari 1987, sekali gus menjadikannya syurga membeli-belah terutama bagi produk seperti coklat, minyak wangi dan pelbagai barangan lain pada harga lebih murah.
Status ini membolehkan pelancong membeli barangan tanpa cukai.
Bagaimanapun, pada 2021, kerajaan memperkenalkan cukai ke atas rokok dan produk tembakau di pulau tersebut bagi menangani ketirisan hasil akibat penyeludupan, sekali gus menyebabkan Langkawi tidak lagi menikmati status bebas cukai sepenuhnya.




