
MUHAMMAD dan Ahmad Rosli pasangan kembar Siam yang pernah menjadi perhatian negara selepas menjalani pembedahan untuk dipisahkan pada tahun 2002.
Namun takdir telah memisahkan mereka apabila Muhammad yang menghidap kanser buah pinggang kembali ke rahmatullah di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras.
Perkara itu dikongsikan Ahmad di laman sosial Facebook.

"Saya abang kepada Muhammad Rosli ingin memberitahu bahawa kembar saya telah kembali kepada Sang Pencipta pada pukul 10.45 minit pagi waktu Malaysia.
"Terima kasih yang tak putus-putus mendoakan kesejahteraannya. Hanya ALLAH dapat membalas jasa kamu semua," titipnya.
Ahmad terdahulu memaklumkan Muhammad telah dimasukkan ke hospital berkenaan minggu lalu selepas mengadu tidak sihat.

Pemuda berusia 28 tahun itu terdahulu menjalani rawatan di Hospital King Fahd National Guard, Arab Saudi selepas disahkan menghidap kanser pundi kencing.
Sepanjang lapan bulan berada di negara itu, Muhammad menjalani lima pembedahan dan lima sesi kemoterapi sebelum disahkan pulih serta menjalani rawatan susulan.

Imbas kembali 25 tahun lalu, pasangan kembar ini mula menarik perhatian negara apabila berjaya menjalani pembedahan pembahagian hati di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada tahun 2001.
Mereka yang bercantum pada bahagian dada dan punggung kemudian berjaya dipisahkan pada usia empat tahun di Hospital King Fahd National Guard pada tahun 2002.
Pembedahan berkenaan mengambil masa 22 jam 45 minit.




