Kemenangan Dalam Pilihan Raya Tak Boleh Atasi Peranan Raja-Raja Melayu - PM

LocalPolitics
21 Sep 2026 • 9:30 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Kemenangan Dalam Pilihan Raya Tak Boleh Atasi Peranan Raja-Raja Melayu - PM

KUALA LUMPUR - Kemenangan dalam pilihan raya tidak boleh dijadikan alasan untuk mencabar atau menggugurkan kedudukan Raja-Raja Melayu kerana institusi berkenaan tertakluk kepada Perlembagaan dan undang-undang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tiada mana-mana parti politik memperoleh mandat daripada rakyat untuk menyingkirkan seseorang Raja.

Menurut beliau, sebarang pertikaian berkaitan institusi diraja perlu diselesaikan melalui saluran undang-undang ditetapkan, bukan menerusi parti politik atau media.

“Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hendak menggugurkan Raja; atas hak siapa? Ketika pilihan raya, adakah dalam manifesto kamu menyatakan jika menang, kamu akan menggugurkan Raja? Tidak ada.

“Rakyat memberikan sokongan kepada kamu untuk mempertahankan sistem beraja, tetapi selepas menang, kamu pula menolak Raja,” katanya.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata, sistem Raja Berperlembagaan perlu dipertahankan berdasarkan undang-undang tubuh negeri dan Perlembagaan, bukan ditentukan oleh parti politik atau keputusan pilihan raya.

“Jika berlaku pertikaian, ikut proses undang-undang, bukan melalui media dan bukan melalui parti.

“Bukan parti yang menentukan siapa Raja, sebaliknya ia berkaitan warisan, susur galur, budaya dan Perlembagaan yang tertakluk kepada undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada acara Perintis Reformis Reunion Hi-Tea di Selangor International Trade Centre (SITC), Shah Alam, semalam.

Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan akan terus mempertahankan sistem Raja-Raja Melayu serta memastikan perkara berkaitan institusi diraja tidak diputuskan secara sewenang-wenangnya demi kepentingan politik.

“Sistem beraja mempunyai peraturan dan kaedah tersendiri yang menjadikannya sebuah institusi beraja. Cara kita bercakap, bersetuju atau membantah juga mempunyai kaedahnya sendiri. Sebab itu kita mempertahankannya,” katanya.

Beliau berkata kerajaan akan menggunakan seluruh kekuatan jentera pentadbiran bagi mempertahankan kedudukan Raja-Raja Melayu seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.

Dalam perkembangan berkaitan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Anwar menolak dakwaan beliau membuka jalan bagi keputusan berkenaan.

Tegasnya, setiap banduan mempunyai hak untuk mengemukakan petisyen pengampunan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan.

“Saya menyatakan bahawa setiap banduan mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan dan saya mempertahankan hak itu untuk sesiapa sahaja, termasuk Datuk Seri Najib. Beliau berhak mengemukakan rayuan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Ada suara-suara sumbang daripada bekas rakan sekutu kita yang mendakwa perkara ini adalah hasil usaha Pakatan Harapan. Sebagai Perdana Menteri, saya tidak mahu menggunakan kata-kata keras. Orang boleh mengkritik saya, tetapi dakwaan itu tidak benar.

“Mereka yang berada dalam kerajaan tahu pendirian saya sejak awal. Walaupun mahu meraih undi, ia tidak seharusnya dilakukan dengan berbohong. Dakwaan bahawa saya membuka jalan adalah tidak benar,” katanya.

Anwar berkata, Lembaga Pengampunan mempunyai bidang kuasa untuk mempertimbangkan permohonan pengampunan, dengan mengambil kira nasihat Perdana Menteri dan Peguam Negara di peringkat Persekutuan, manakala keputusan akhir terletak pada Yang di-Pertuan Agong.

Tegasnya, perkara berkaitan pengampunan dan penganugerahan darjah kebesaran merupakan bidang kuasa budi bicara Sultan dan Raja-Raja Melayu di negeri masing-masing, atau Yang di-Pertuan Agong di peringkat Persekutuan.

Menurut Anwar, kenyataan terdahulu beliau mengenai pengampunan Najib tidak bertujuan mempengaruhi keputusan berkenaan, sebaliknya mengambil kira prosiding mahkamah yang masih berjalan, jumlah denda yang besar dikenakan terhadap Najib serta implikasinya terhadap keyakinan awam terhadap sistem keadilan dan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Pengampunan juga tidak akan menghentikan prosiding undang-undang lain yang melibatkan Najib, termasuk kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan saman sivil," katanya.

Anwar turut menegaskan pendirian Kerajaan MADANI bahawa segala bentuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa perlu terus disiasat serta ditangani mengikut lunas undang-undang.

Kenyataan itu dibuat selepas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, pada Jumaat memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib, membolehkan beliau menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat-syarat lain.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) memaklumkan keputusan berkenaan dibuat pada mesyuarat ke-64 Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara. - Getaran, 21 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved