Kementerian Kewangan Tiada Pilihan, Terpaksa Ambil Alih Projek LCS – Anwar

LocalPolitics
27 May 2023 • 7:45 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anwar berkata kerajaan tidak mempunyai pilihan selain menyiapkan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang berdepan masalah. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak mempunyai pilihan selain menyiapkan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang berdepan masalah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, terlalu banyak dana digunakan ke atas projek terbabit, sehingga memaksa kerajaan mengambil alih.

image is not available
Anwar Ibrahim - Gambar fail

“Kita (kerajaan) ada banyak projek sedang berjalan yang mesti disiapkan, termasuk LCS.

“Kita tiada pilihan. Kita sudah belanja RM6 bilion. Kita tak boleh hentikan (projek), kita kena ambil alih untuk siapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-40 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Anwar berkata, kenyataan penuh akan dikeluarkan berhubung syarikat tujuan khas (SPV) baharu Kementerian Kewangan untuk mengambil alih Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), syarikat bertanggungjawab bagi projek itu.

Pengambilalihan melalui SPV di bawah Kementerian Kewangan diumumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dua hari lalu.

Projek LCS mencetuskan kontroversi selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan tiada satu kapal pun disiapkan, walaupun kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion kepada BNS.

Menurut Mohamad, projek LCS itu akan dipantau Jawatankuasa Pemantauan Projek dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan. – The Vibes, 27 Mei 2023