
PETALING JAYA: Kenyataan dikeluarkan Kementerian Kewangan berkaitan proses pembayaran kepada kontraktor Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berhubung projek jalan luar bandar, tidak dibuat secara sembrono.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, beliau mengenali Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican sebagai seorang penjawat awam kanan yang teliti dan cekap.
Katanya, Johan sudah tentu lebih arif khususnya dalam soal urusan kewangan negara.
“Elok saudara (Setiausaha Akhbar Menteri KKDW), Fadzmel (Fadzil) semak semula fakta. Saya yakin kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan tidak dibuat secara semborono,” katanya hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi membalas jawapan yang dikeluarkan KKDW menerusi Fadzmel yang menafikan dakwaan kementerian itu berbelanja melebihi peruntukan diluluskan kerana setiap perbelanjaan kerajaan tertakluk kepada tatacara dan sistem kewangan ditetapkan.
Semalam Fadzmel dilaporkan berkata, menegaskan kenyataan Kementerian Kewangan berhubung peruntukan yang disalurkan kepada KKDW adalah tidak tepat dan tidak menggambarkan keseluruhan keadaan sebenar.
Katanya, kementerian tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan perbelanjaan melebihi peruntukan yang diluluskan kerana penggunaan dana kerajaan dikawal melalui prosedur kewangan yang ditetapkan.
“Setiap permohonan peruntukan dibentangkan kepada Kementerian Kewangan dan setiap perbelanjaan tertakluk kepada sistem kewangan kerajaan yang menggunakan Sistem Perakaunan Pengurusan Kewangan Kerajaan Bersepadu (iGFMAS). Malah, setiap projek atau program pembangunan mesti mendapat kelulusan daripada Kementerian Ekonomi.
“Sekiranya benar berlaku perbelanjaan yang tidak teratur atau melebihi peruntukan, perkara tersebut tertakluk kepada Arahan Perbendaharaan. Justeru, penggunaan istilah ‘berbelanja melebihi peruntukan’ memberi gambaran yang tidak tepat terhadap apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.
Sebelum itu, Johan menjawab kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung kekangan dalam proses pembayaran kepada kontraktor berbangkit adalah disebabkan peruntukan tahun semasa telah pun dibelanjakan hampir sepenuhnya oleh kementerian tersebut.
“Sejak beberapa tahun lalu, KKDW telah membuat komitmen dan berbelanja lebih daripada peruntukan tahunan yang diluluskan untuk projek-projek jalan luar bandar,” katanya.
Mengikut rekod Kementerian Kewangan, sejak tahun 2023, perbelanjaan KKDW melebihi peruntukan sebenar iaitu RM1.8 bilion (perbelanjaan) berbanding RM1.1 bilion (peruntukan) diikuti RM2 bilion perbelanjaan melebihi RM1.3 bilion (2024) dan RM2.3 bilion berbanding RM1.6 bilion (2025). –UTUSAN
The post Kementerian Kewangan tidak keluar kenyataan sembrono – Tunku Nashrul appeared first on Utusan Malaysia.






