
PETALING JAYA: Lebihan komitmen dipaparkan dalam jadual perbelanjaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bukan membabitkan perbelanjaan baharu kementerian itu, sebaliknya bayaran bagi komitmen projek yang tertangguh antara 2019 hingga 2021.
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Fadzmel Fadzil berkata, perkara itu penting dijelaskan bagi mengelakkan angka lebihan komitmen ditafsirkan sebagai KKDW membuat perbelanjaan baharu melebihi peruntukan yang diluluskan.
Beliau berkata, komitmen berkenaan merupakan obligasi kerajaan terhadap projek yang telah diluluskan sebelum ini, termasuk projek Jalan Luar Bandar (JALB), tetapi pelaksanaannya terganggu sehingga menyebabkan tuntutan bayaran dibawa ke tahun berikutnya.
“Apabila Kementerian mengumumkan bajet dan diluluskan Parlimen, KKDW hanya akan melaksanakan mengikut peruntukan yang diberikan. Lebihan yang diperlihatkan adalah hutang Kerajaan yang dibawa ke tahun berikutnya, bukan komitmen baharu,” katanya dalam kenyataan.
Fadzmel berkata, keadaan itu perlu difahami berdasarkan sistem pelaksanaan projek kerajaan yang membabitkan kelulusan projek dan peruntukan pada tempoh berbeza dengan masa sebenar projek dilaksanakan serta tuntutan kontraktor dibuat.
Beliau turut memberi contoh projek bernilai RM300 juta yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan siling RM60 juta bagi setiap Rolling Plan, menjadikan peruntukan disediakan secara berperingkat mengikut tahun pelaksanaan.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya berlaku kelewatan seperti ketika pandemik Covid-19, peruntukan yang telah disediakan bagi tahun terdahulu mungkin tidak dapat digunakan kerana projek belum dapat ditender atau dimulakan.
Dalam keadaan itu, beliau berkata, peruntukan berkenaan boleh dipulangkan kepada Kementerian Kewangan, namun komitmen terhadap projek yang telah diluluskan masih wujud apabila projek berkenaan disambung semula.
“Selepas projek boleh dimulakan kembali, kontraktor terus melaksanakan kerja mengikut jadual dan mengemukakan tuntutan bagi kerja yang tertangguh pada penyata kewangan tahun berikutnya mengikut apa yang telah diluluskan sebelum ini.
“Tetapi, jangan lupa Rolling Plan berkenaan juga mempunyai peruntukan yang diluluskan dan ia mempunyai nilai tambahan sebagai tunggakan yang dibawa ke hadapan,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan sesuatu tahun kewangan boleh mempunyai peruntukan baharu untuk projek semasa pada masa sama perlu menanggung tuntutan yang dibawa ke hadapan daripada tahun sebelumnya.
“KKDW tetap perlu mencari peruntukan untuk membayar hutang kepada kontraktor ini dan ia telah dilakukan melalui pindahan peruntukan dalaman daripada program rakyat luar bandar lain dan kemudian menyalurkan waran kepada agensi pelaksana yakni JKR untuk membayar tuntutan kontraktor bagi projek JALB sahaja.
“Inilah yang berlaku apabila komitmen projek lebih besar daripada siling tunai tahunan yang disediakan. Ia bukan bermaksud KKDW sesuka hati “berbelanja lebih”. Malah, rekod menunjukkan pada 2022 hingga 2025, perbelanjaan JALB kekal dalam lingkungan peruntukan dipinda yang tersedia,” katanya. – UTUSAN
The post ‘Itu komitmen projek tertangguh’ appeared first on Utusan Malaysia.






