Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pertingkat penguatkuasaan

LocalPolitics
10 Mar 2025 • 12:09 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Iskandar Dzulkifli

PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mempertingkatkan lagi penguatkuasaan bagi mengekang sebarang aktiviti penyeludupan barangan bersubsidi di musim perayaan ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan menerusi Ops Pantau dan Ops Tiris dengan kerjasama agensi berkaitan khususnya Agensi Kawasan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

“Kita akan aktifkan kerjasama sedia ada dengan agensi-agensi berkaitan antaranya AKPS yang mengawal selia sempadan, termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim) dan PDRM (Polis Di Raja Malaysia).

“Bagi dalam negara, kita akan laksanakan Ops Pantau manakala Ops Tiris di sempadan-sempadan untuk mengekang sebarang unsur yang melibatkan penyeludupan dan ketirisan barangan bersubsidi ini,” katanya selepas menyempurnakan program SIM@PAX Hari Raya Aidilfitri Serta Ikhlas Ramadan Bersama Gas Petronas di Dewan Terbuka Tapak Tamu Mingguan Papar, di sini, Sabtu.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Petronas Dagang Berhad, Azureen Azita Abdullah dan Pengurus Besar Petronas Sabah; Wilayah Persekutuan Labuan, Siti Ayu Abd Wahab dan wakil rakyat Limbahau, Datuk Juil Nuatim.

Bercakap mengenai program itu, Amizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, ia merupakan kerjasama Strategik KPDN dengan Petronas yang menawarkan khidmat servis kenderaan pada harga istimewa sempena Aidilfitri.

Melalui program itu katanya, sebanyak 96 bengkel Petronas AutoExpert (PAX) telah diwujudkan di seluruh negara dan menawarkan diskaun antara 10 hingga 30 peratus untuk perkhidmatan itu bermula 15 Mac hingga 29 Mac ini.

“Program ini menawarkan perkhidmatan servis kenderaan dengan harga lebih murah berbanding harga pasaran semasa bagi perkhidmatan penyelengaraan kenderaan termasuk minyak pelincir mineral dan semi-sintetik tulen.

“SIM@PAX merupakan inisiatif di bawah agenda Payung Rahmah Madani yang sebelum ini telah dimulakan sempena perayaan Tahun Baru Cina untuk memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.

“Sebanyak lima PAX telah diwujudkan di Sabah dan ia akan turut diperluaskan dengan perkhidmatan servis kenderaan dan minyak pelincir bagi kenderaan jenis diesel, termasuk khidmat sama di Sarawak,” katanya.

Terdahulu, seramai 100 peniaga bazaar ramadan di kawasan itu menerima sumbangan Gas Petronas termasuk penukaran silinder gas secara percuma sempena Program Ikhlas Ramadan yang turut dilancarkan di majlis itu.