
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan akan mengemukakan cadangan kepada Jemaah Menteri untuk mengadakan sambutan Hari Veteran khusus bagi menghargai jasa dan pengorbanan pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, cadangan itu merupakan usaha kerajaan memastikan sumbangan bekas anggota tentera yang berkhidmat mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara terus dikenang.
Menurut beliau, sambutan berkenaan juga akan menjadi platform rasmi untuk mengeratkan hubungan antara veteran ATM dengan masyarakat.
“Melalui sambutan Hari Veteran, kita mahu memastikan jasa dan pengorbanan mereka terus dikenang, di samping menyemarakkan hubungan antara veteran dengan masyarakat.
“Ia akan jadi satu usaha formal dan merupakan jaminan kerajaan untuk tidak melupakan sumbangan dan jasa pesara ATM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Negara Ke-100 Persatuan Veteran ATM di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata, kutipan Tabung Pahlawan menunjukkan perkembangan positif apabila berjaya mengumpul RM4.5 juta, menghampiri sasaran RM5 juta yang ditetapkan sebelum ini.
“Bermula 2024, lutipan dilihat semakin meningkat iaitu sebanyak RM1.3 juta manakala bagi tahun ini hampir kepada sasaran RM5 juta.
“Ini membuktikan kesedaran orang ramai betapa pentingnya jasa veteran kita,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE
The post Kementerian Pertahanan cadang wujudkan Hari Veteran ATM appeared first on Kosmo Online.






