Kempen berjalan, semangat entah ke mana?

LocalPolitics
5 Nov 2026 • 8:09 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kempen berjalan, semangat entah ke mana?

SEMALAM sudah memasuki hari keempat kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 tetapi bahang pilihan raya masih belum terasa. 

Bendera parti memang sudah berkibar, poster calon mula menghiasi jalan raya dan pemimpin politik silih berganti mengeluarkan kenyataan. Namun, suasananya seolah-olah kempen sekadar memenuhi tuntutan kalendar pilihan raya. Ada kempen tetapi di manakah semangatnya?

Lebih menarik, petunjuk awal mengenai suasana dingin ini sebenarnya sudah dapat dilihat pada hari penamaan calon. Kehadiran penyokong di pusat penamaan calon (PPC) tidak begitu memberangsangkan. 

Jika dahulu hari penamaan calon menjadi medan memperlihatkan kekuatan, lautan manusia dan sorakan penyokong, kali ini suasananya tidak begitu menggambarkan pilihan raya yang sedang menentukan masa depan kerajaan negeri.

Apa sudah jadi? Adakah rakyat sudah tidak berminat atau jentera parti sendiri sudah kehilangan tenaga? Barangkali kedua-duanya mempunyai jawapan tersendiri. 

Namun, sukar untuk menolak kemungkinan bahawa sebahagian jentera politik masih belum benar-benar pulih daripada siri pilihan raya terdahulu termasuk PRN Negeri Sembilan.

Belum sempat menarik nafas panjang selepas satu pertarungan, mereka sekali lagi diminta mengangkat bendera, memasang poster, mengedarkan risalah dan mengiringi pemimpin ke sana sini. 

Rutin yang sama, slogan yang hampir serupa dan janji yang tidak banyak berubah. Bezanya hanya lokasi dan nombor calon. Kalau beginilah keadaannya tidak hairanlah ada jentera yang mungkin bergerak atas dasar kewajipan, bukan lagi semangat.

Tetapi jangan pula semua kesalahan diletakkan di bahu jentera bawahan. Pemimpin parti juga perlu bermuhasabah. Mereka mungkin masih ghairah bercakap tentang kemenangan, menyusun strategi dan mengumumkan sasaran kerusi tetapi sejauh mana mereka berjaya meyakinkan penyokong sendiri? 

Jangan sampai pemimpin bersemangat di pentas ceramah, sedangkan penyokong di bawah pentas masih berkira-kira sama ada mahu hadir atau tidak.

Dalam keadaan ini, persoalan tentang isu yang dibawa parti juga perlu diberikan perhatian. Adakah kempen kali ini benar-benar menyentuh masalah rakyat atau sekadar mengulang skrip politik lama? 

Rakyat mahu tahu bagaimana kos sara hidup dapat ditangani, peluang pekerjaan diperluas, masalah perumahan diselesaikan dan ekonomi setempat diperkukuh. 

Mereka tidak begitu memerlukan ceramah panjang tentang siapa paling layak menjadi kerajaan jika persoalan asas kehidupan kekal tidak terjawab.

Lebih lucu apabila ada pemimpin yang bercakap seolah-olah kemenangan sudah berada dalam genggaman, sedangkan suasana kempen sendiri belum mampu membangkitkan keterujaan. 

Sasaran kerusi boleh diumumkan setinggi mana sekalipun tetapi angka itu tidak akan menjadi kenyataan hanya dengan keyakinan pemimpin. 

Pengundi bukan sekadar angka dalam laporan strategi pilihan raya dan penyokong bukan robot yang boleh dihidupkan semula setiap kali loceng kempen dibunyikan. 

The post Kempen berjalan, semangat entah ke mana? appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved