
PETALING JAYA – Sempena Hari Kebangsaan tahun ini, jenama barangan kemas, HABIB menjemput rakyat Malaysia meraikan semangat kemerdekaan sambil menghargai keindahan warisan budaya yang mencorakkan identiti negara menerusi Kempen Merdeka HABIB, dari 1 hingga 31 Ogos 2026 di semua bilik pameran HABIB di seluruh negara.
Bertemakan perpaduan, kebersamaan dan semangat cintakan negara, kempen tahun ini mengetengahkan kepelbagaian seni dan warisan budaya dari setiap pelosok negara yang mencerminkan identiti unik Malaysia.
Keistimewaan ini diterjemahkan menerusi koleksi barangan kemas dan wafer emas eksklusif yang bukan sahaja menampilkan keindahan seni warisan, malah sebagai penghargaan kepada khazanah yang menjadi kebanggaan rakyat.
Menurut HABIB, antara keistimewaan kempen kali ii ialah pengenalan Koleksi Tengkolok, yang menampilkan rangkaian cincin dan gelang tangan eksklusif diinspirasikan daripada tengkolok yang dipakai oleh Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sewaktu laungan kemerdekaan yang pertama pada tahun 1957.

“Koleksi ini mengambil ilham daripada solek Dendam Tak Sudah, iaitu salah satu gaya lipatan tengkolok tradisional Negeri Sembilan yang diwarisi turun-temurun serta melambangkan ketabahan, daya tahan dan semangat yang tidak pernah luntur.
“Diolah dengan sentuhan kontemporari, koleksi ini menampilkan siluet asimetri, perincian geometri yang diinspirasikan daripada lipatan tengkolok serta kilauan berlian.
“Hasilnya ialah rekaan yang mengangkat warisan budaya, kekuatan, kepimpinan dan semangat cintakan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Melengkapkan koleksi barangan kemas ini ialah Koleksi Wafer Emas 999.9 MY Corak, yang diinspirasikan daripada keunikan warisan budaya di Malaysia Utara, Malaysia Selatan, Malaysia Tengah, Malaysia Timur serta Pantai Timur Malaysia.

Setiap rekaan menampilkan mercu tanda ikonik, flora, fauna, motif tradisional dan simbol budaya yang mencerminkan keistimewaan setiap wilayah, sekali gus mengabadikan kekayaan warisan Malaysia dalam bentuk koleksi yang bernilai.
Ditawarkan secara individu atau sebagai set lengkap lima keping, koleksi ini dipersembahkan dalam pembungkusan yang diinspirasikan daripada seni batik, sebagai penghargaan kepada khazanah seni dan budaya negara. – KOSMO! ONLINE
The post Kempen Merdeka HABIB semarakkan keindahan warisan Malaysia appeared first on Kosmo Digital.






