Kemudahan penyelenggaraan kipas pesawat APS di Shah Alam terima pensijilan CAAM

11/06/2025 - 11:51
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 11 Jun - Peneraju global dalam penyelenggaraan, pembaikan dan pembaikan semula (MRO) bagi kipas pesawat, APS, menerima pensijilan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi kemudahan Asia Pasifiknya di Shah Alam, Selangor.
Pensijilan itu merupakan satu langkah penting untuk menjadikan kemudahan di Malaysia sebagai pusat perkhidmatan serantau bagi kerja-kerja penyelenggaraan kipas pesawat.
Ia juga mengesahkan bahawa syarikat tersebut mematuhi semua peraturan penerbangan yang ditetapkan di negara ini.
Kemudahan berkenaan dijangka mula beroperasi hujung bulan ini dan akan menjadi pusat operasi APS untuk pelanggan di seluruh Asia Pasifik.
Sebelum ini, kemudahan sama turut menerima pengiktirafan daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (AS), membuktikan komitmen syarikat terhadap piawaian antarabangsa.
Pengarah Urusan APS Asia Pasifik, Fergus Lopez berkata, pensijilan CAAM itu menunjukkan komitmen tinggi pasukan APS di Malaysia dan kekuatan sistem syarikat.
"Kami sudah bersedia untuk memberikan perkhidmatan MRO berkualiti kepada pelanggan di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif APS, Daniel Colbert pula berkata, kelulusan CAAM itu adalah langkah penting untuk APS di Asia Pasifik.
"Ia membolehkan kami membawa perkhidmatan penyelenggaraan lebih dekat kepada pelanggan di Asia Tenggara dan membina sokongan jangka panjang di sini," jelasnya.
Asia Pasifik kini memiliki 37% daripada jumlah pesawat ATR di dunia dan dijangka memerlukan hampir 1,000 pesawat turboprop dalam 20 tahun akan datang.
Kemudahan baharu tersebut akan membantu memenuhi permintaan itu serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat utama MRO penerbangan di rantau ini. - DagangNews.com
standard

