Jetstar Asia henti operasi mulai 31 Julai 2025

11/06/2025 - 17:48
Gambar/Linkedin Jetstar Asia Airways Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 11 Jun - Syarikat penerbangan tambang rendah Jetstar Asia yang berpusat di Singapura, akan menamatkan operasinya secara rasmi bermula 31 Julai 2025 selepas 20 tahun beroperasi.
Syarikat itu berkata, keputusan tersebut dibuat selepas kajian mendalam setelah perniagaannya semakin terjejas sejak beberapa tahun lalu akibat kenaikan kos pembekal, caj lapangan terbang dan persaingan yang semakin tinggi di rantau ini.
"Kami amat sedih dengan pengumuman ini. Ia adalah hari yang sukar untuk pasukan Jetstar Asia dan pelanggan kami.
"Namun, kami tetap komited untuk membantu semua yang terjejas," menurut kenyataan syarikat itu di platform LinkedIn.
Jetstar Asia memaklumkan, ia akan terus mengendalikan penerbangan selama tujuh minggu lagi sebelum menghentikan operasi sepenuhnya pada 31 Julai 2025.
Dalam tempoh itu, jadual penerbangan akan dikurangkan secara beransur-ansur.
Keputusan tersebut bagaimanapun tidak melibatkan penerbangan Jetstar Airways (JQ) antara Australia dan Asia Tenggara dan tidak menjejaskan operasi Jetstar Japan (GK).
Ketua Pegawai Eksekutif Jetstar Asia, John Simeone berkata, pihaknya telah mencuba sehabis baik untuk terus menawarkan tambang rendah yang menjadi teras perniagaan syarikat, namun keadaan pasaran semasa tidak lagi mengizinkan.
"Walaupun hari ini sukar dan menyedihkan, saya amat berterima kasih kepada seluruh pasukan Jetstar Asia atas usaha dan komitmen mereka selama ini," jelasnya.
Untuk pelanggan yang mempunyai tempahan sebelum 31 Julai 2025, pihak syarikat akan memaklumkan sekiranya terdapat perubahan jadual dan akan menawarkan penerbangan lain atau bayaran balik penuh.
Bagi tempahan selepas tarikh tersebut, pelanggan akan menerima bayaran balik sepenuhnya. - DagangNews.com
standard

