Ria Wallet mudahkan majikan bayar gaji pekerja asing secara digital

11/06/2025 - 15:23
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 11 Jun - Syarikat kiriman wang antarabangsa, Ria Money Transfer, memperkenalkan perkhidmatan yang membolehkan majikan di Malaysia melaksanakan pembayaran gaji secara digital kepada pekerja asing di negara ini melalui sistem dompet digital, Ria Wallet.
Aplikasi itu juga telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Tenaga Kerja di bawah Kementerian Sumber Manusia.
Langkah tersebut memudahkan majikan membayar gaji pekerja asing dengan cara yang selamat dan mengikut undang-undang, terutamanya bagi sektor seperti pembinaan, pertanian dan pembuatan yang banyak menggunakan tenaga kerja asing.
Dengan kerjasama Mastercard, program Kad Prabayar Ria dan Ria Wallet juga membolehkan pekerja yang tidak mempunyai akaun bank menerima gaji, mengeluarkan wang di ATM, membayar bil dan menghantar wang ke dalam dan luar negara.
Mereka juga boleh membuat bayaran menggunakan imbasan QR DuitNow di jutaan lokasi dalam negara.
Pengarah Urusan Ria Money Transfer Asia Pasifik, Espen Kristensen berkata, pihaknya mengetahui kesukaran majikan dalam mengurus pembayaran gaji.
"Dengan Ria Wallet, syarikat boleh mengurus gaji dengan lebih telus dan mematuhi peraturan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM), pekerja asing membentuk kira-kira 15.3% daripada jumlah tenaga kerja di Malaysia dan kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai akaun bank.
Sistem tersebut membantu golongan itu mendapatkan kemudahan kewangan yang lebih selamat dan mudah.
Ria telah beroperasi di Malaysia sejak 2001 dan merupakan satu daripada syarikat utama dalam perkhidmatan kiriman wang antarabangsa.
Dengan lebih 624,000 lokasi di hampir 200 negara, Ria berusaha menyediakan perkhidmatan kewangan yang mudah dan lengkap kepada semua pelanggan.
Inisiatif berkenaan juga membantu memperkuat komuniti pekerja asing dengan memberi kemudahan kewangan dan menggunakan teknologi digital dalam sistem pembayaran gaji di Malaysia. - DagangNews.com
standard


