Kemuka maklumat palsu daftar kelahiran anak, buruh didenda RM8,000

LocalPolitics
6 Apr 2026 • 12:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tertuduh diiringi pegawai JPN Pahang keluar dari mahkamah selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan pada Isnin.

KUANTAN - Seorang lelaki Indonesia berstatus penduduk tetap didenda RM8,000 di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengemukakan maklumat palsu semasa membuat permohonan pembetulan maklumat dalam daftar kelahiran anak kira-kira dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Sahal Sayadi, 58, turut berdepan hukuman penjara 10 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda yang diputuskan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

Berdasarkan kertas pertuduhan dan fakta kes yang dikemukakan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pahang, Fahkrol Anuar Sani, buruh binaan itu didapati dengan sengaja mengemukakan sijil cerai palsu dari Pengadilan Agama Bawean, Gresik, Jawa Timur semasa membuat permohonan pembetulan maklumat dalam daftar kelahiran anak lelakinya yang kini berusia 16 tahun.

Hasil semakan melalui Surat Konfirmasi Pengesahan Akta Cerai Warga Indonesia (WNI) yang dikeluarkan Kedutaan Besar Republik Indonesia Kuala Lumpur pada 7 Ogos 2025 itu mengesahkan nombor siri sijil cerai yang dikemukakan adalah palsu dan tidak berdaftar.

Tertuduh dipercayai bertindak demikian bagi tujuan mendapatkan status kewarganegaraan untuk anak hasil perkahwinan pertamanya dengan wanita yang juga warga Indonesia.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kaunter Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat, JPN Negeri Pahang kira-kira jam 3.30 petang pada 30 September 2024.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang juga bapa kepada 10 anak didakwa di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) sebelum itu merayu agar dikenakan hukuman denda minimum.

Alasan lelaki itu, dengan pendapatannya hanya RM1,000 sebulan sebagai buruh, dia terpaksa menyara isteri dan 10 anak.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran selain mengambil kira kepentingan awam.